Gempar bau hangit!

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI BULOH - Wad bersalin di Hospital Sungai Buloh di sini menjadi gempar petang tadi apabila pesakit mendakwa terhidu bau hangit selain melihat kepulan asap.

Menurut seorang pesakit, Masreen Aliza Mohamud, 39, semua pesakit bersama bayi masing-masing segera dipindahkan ke tempat selamat pada kira-kira jam 6.30 petang tadi susulan kejadian itu.

"Ketika kejadian, saya berasa sedikit cemas apabila melihat kepulan asap lalu segera mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun tiada api kelihatan di kawasan itu dan semua pesakit telah dibawa semula ke dalam wad kira-kira sejam kemudian," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Dia yang hamil sembilan bulan dimasukkan ke wad itu sejak tengah hari tadi untuk pemantauan selama tiga hari.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.54 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang api tetapi hanya bau hangit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata punca kejadian masih disiasat dan keadaan dilaporkan selamat serta terkawal setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kamaruddin Alias dalam kenyataan malam ini berkata, bau hangit itu dipercayai dikesan di beberapa unit bilik bersalin yang terletak di tingkat dua bangunan Blok C hospital berkenaan.

Kamaruddin berkata, kakitangan yang bertugas telah mengambil tindakan pantas dan pengungsian wad bersalin telah dilakukan serta merta yang mana pesakit, pelawat serta petugas kesihatan dipindahkan ke tempat selamat.

"Hospital dimaklumkan bahawa siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kebakaran dapat dikenal pasti yang mengakibatkan bau hangit tersebut. Perkhidmatan rawatan bersalin tidak terjejas dan tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!