Integriti Pemangkin Keluarga tema Hari Integriti Nasional
SHAH ALAM - Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia dipilih sebagai tema sambutan Hari Integriti Nasional yang akan disambut pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Nor’afiza Saim berkata, pemilihan tema itu selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ia menekankan aspek asas keutuhan, kebersamaan dan kesepakatan negara yang terikat dengan nilai-nilai sempurna dalam institusi keluarga serta sifatnya lebih inklusif serta merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
“Pemantapan budaya dan nilai integriti dalam kehidupan harian masyarakat amat penting untuk menuju ke arah negara maju dengan rakyatnya yang memiliki nilai moral, etika dan berintegriti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Nor’afiza berkata, sempena sambutan berkenaan, IIM akan turut menganjurkan Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) dengan tema ‘Integriti Keluarga Malaysia Dalam Menghadapi Endemik’ di Institut Integriti Malaysia pada 9 November depan.
Menurutnya, konvensyen itu akan membawakan forum bagi membincangkan 'Integriti Keluarga Malaysia Dalam Menghadapi Endemik: Cabaran dan Ketersediaan Kita' dan empat bengkel selari bertemakan pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial.
“Selan itu, KIN2021 akan diakhiri dengan acara kemuncaknya iaitu pembentangan resolusi,” jelas beliau.
Sementara itu, Nor’afiza berkata, pembentukan diri untuk menjadi individu berintegriti bukan mudah, tetapi setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin bagi memperkukuhkan integriti diri sendiri dan individu di bawah tanggungjawab masing-masing.
“Bagaimanapun cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini memerlukan perhatian khusus semua pihak untuk terus berusaha mengukuhkan budaya dan nilai integriti bermula daripada institusi keluarga serta masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, usaha menambah baik sistem pengurusan dalaman organisasi dan mengadakan program serta aktiviti bertemakan integriti, etika dan tadbir urus baik bukan sekadar pada Hari Integriti Nasional.
“Ia adalah program dan inisiatif berterusan yang perlu dilaksanakan setiap organisasi sama ada agensi kerajaan, badan korporat dan sektor swasta.
“Keterlibatan semua pihak amat kritikal dalam memastikan pengamalan budaya integriti dapat dijayakan dengan sempurna,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!