Pasar awam Tanjung Piandang bakal beroperasi November ini
PARIT BUNTAR - Penantian penduduk Mukim Tanjung Piandang memiliki kemudahan pasar awam dalam tempoh 30 tahun berakhir apabila pembinaannya dijangka siap Ogos ini dan bakal memulakan operasi pada bulan November tahun yang sama.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pembinaan pasar awam di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang menelan belanja RM3.69 juta itu kini sudah 85 peratus siap, mendahului jadual pembinaan asal sebanyak 60 peratus oleh kontraktor dilantik.
Menurutnya, rekabentuk pembinaan pasar awam itu menggunakan konsep Pasar Sejahtera di mana ianya turut menyediakan kemudahan tandas, surau, tapak sampah kitar semula di samping rekabentuk bumbung bangunan yang boleh dijadikan tadahan air hujan untuk kegunaan semula peniaga.
"Pasar awam ini akan menyediakan sejumlah 80 tapak niaga merangkumi meja ikan, sayur, barangan kering di samping 14 unit kiosk khas di bahagian luar bangunan itu.
"Kadar sewa bagi peniaga yang dipilih Majlis Daerah Kerian (MDK) masih belum ditetapkan, namun keutamaan akan diberikan kepada 29 peniaga tepi jalan yang kini berniaga di tapak sementara Taman Piandang Jaya berhampiran Masjid Jamek Tanjung Piandang," katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan kerja ke Pasar Awam Tanjung Piandang di sini petang tadi.
Turut hadir Setiausaha MDK, Norhafisah Mohamad.
Abdul Yunus berkata, pasar itu turut disediakan unit kiosk khas yang menempatkam sekurang-kurangnya empat peniaga kraftangan untuk memasarkan hasil kraftangan mereka kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, kewujudan pasar awam Tanjung Piandang itu juga dijangka akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas membabitkan jalan utama Pekan Tanjung Piandang pada waktu petang susulan tindakan peniaga dan penjaja berniaga di tepi jalan sejak lebih 30 tahun lalu.
Meskipun tarikh siap projek pasar itu dijangka bulan Ogos ini, MDK akan mengambil tindakan memindahkan 29 peniaga tepi jalan dikenal pasti secara berperingkat dengan jangkaan pasar awam itu akan mula beroperasi pada November ini.
"Baki 51 tapak niaga di pasar awam itu akan ditawarkan kepada mana-mana peniaga berminat melalui iklan.
"Kita juga akan meminta kesemua peniaga yang berniaga di tapak sementara di Taman Piandang Jaya untuk merobohkan struktur premis dibina sebelum berpindah ke pasar awam nanti," katanya.
Abdul Yunus turut merancang mengekalkan konsep pasar awam Tanjung Piandang sebagai pasar bekalan ikan segar waktu petang sekiranya inisiatif itu mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke premis itu kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!