Empat pakej baharu Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilancar Sabtu ini

Bung Moktar.- Foto fail Bernama
Bung Moktar.- Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan empat pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo pada Sabtu di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, Perdana Menteri yang dijadual tiba pada Jumaat bagi rangka lawatan ke Sandakan serta Kinabatangan itu akan melancarkan projek lebuh raya berkenaan melibatkan laluan Kinabatangan hingga Telupid.

Bung Moktar berkata, pelantikan kontraktor bagi pakej WP15, WP28, WP29 serta WP30 sudah dilakukan dan kerja-kerja pelaksanaan dijalankan sebaik pelancaran, sekali gus jangkaan siap pada tahun 2024.

"Pelaksanaan projek ini akan menyelesaikan rungutan penduduk berhubung isu kerosakan di jalan utama dari Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi fasa satu melibatkan 706 kilometer dari Sindumin ke Kota Kinabalu seterusnya Kudat, serta Tawau hingga Batu 32 Sandakan sehingga Ranau.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, terdapat satu lagi pakej baharu dijangka dimulakan pada tahun depan membabitkan laluan antara Serusop, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang menggunakan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Pelaksanaan lima pakej baharu ini akan menjadikan 16 pakej kerja dilaksanakan setakat ini daripada 35 pakej keseluruhan dalam fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

"Daripada 16 pakej itu, sebanyak 11 pakej yang dilaksanakan kebanyakannya melibatkan laluan di bahagian pantai barat Sabah iaitu dari Sindumin di sempadan Sarawak hingga ke Kudat, dan pencapaian setakat ini pada tahap 54 peratus dan dijadual siap pada tahun 2023," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berharap baki 19 pakej lagi projek Lebuhraya Pan Borneo itu dapat dilaksanakan serentak supaya tempoh siap projek dapat dipercepatkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!