Ketengahkan calon muka baharu pada PRN Melaka

Hasmuni
Hasmuni
A
A
A

ALOR SETAR - Sudah sampai masa UMNO melakukan perubahan dengan mengetengahkan calon muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berkata, pendekatan itu dilihat lebih matang untuk parti berkenaan mengharungi cabaran baharu PRN selain persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tampilkan muka baharu, bukan bermakna menidakkan ‘orang lama’ atau sumbangan ‘senior’. Namun jika kita masih di tahap lama orang-orang itu juga yang dipilih, kita tidak melakukan apa-apa perubahan kerana dogma dan stigma cara berfikir serta bertindak tetap stail lama.

"Harus beri peluang kepada calon muda yang progresif, berani dan kreatif,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hasmuni yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia berkata, PRN Melaka bakal menjadi ‘masterpiece’ kepada PRU15 akan datang.

“Walaupun jumlah pengundi PRN Melaka hanya setengah juta (jumlah sebenar 495,196) namun keputusan PRN Melaka akan menjadi model dan cerminan keputusan PRU15 kelak. Meletakkan calon muka baharu bukan eksperimen.

“Jika mengikut arus dan peredaran zaman, sewajarnya kita beri peluang kepada muka-muka baharu ini untuk mencorakkan PRN Melaka. Kita tunggu dan lihat hasilnya kelak untuk tindakan selanjutnya bagi mengatur strategi PRU15,” katanya.

Hasmuni berkata, suasana politik pasca PRU14 dilihat tidak menentu, dengan pasca pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang agak kucar-kacir sehingga akhirnya Perikatan Nasional (PN) diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil alih pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

“Kini negara kembali diterajui UMNO. Semua itu wajar menjadi pengajaran dan pengalaman paling besar buat kita dalam mengurus dan mentadbir negara ke arah kemakmuran dan diredai ALLAH SWT,” katanya.

Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang bertanding pada PRN Melaka pada Sabtu secara maya. Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi catatan di Facebook, pada Khamis.

Pengumuman calon akan dibuat menerusi Facebook UMNO Online pada jam 10 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November serta undian awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!