Penduduk Kampung Setol minta jambatan baharu

Penduduk memohon agar jambatan dibina segera sebagai kemudahan penduduk Kampung Setol, Yan.
Penduduk memohon agar jambatan dibina segera sebagai kemudahan penduduk Kampung Setol, Yan.
A
A
A

YAN - Lebih 500 penduduk Kampung Setol, Yan menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan jambatan baharu setelah kemudahan itu runtuh akibat tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.

Penduduk, Azhar Saad, 54, berkata, ketiadaan jambatan terbabit telah menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jaraknya dua kali ganda.

Menurutnya, laluan sedia ada bukan sahaja boleh digunakan untuk ke pekan Yan namun menghubungkan laluan ke hospital yang jaraknya 2.5 kilometer berbanding jalan utama jarak 5 kilometer.

"Jambatan ini memang kami nantikan setelah runtuh lebih dua bulan lalu akibat tragedi. Ia menyebabkan banyak laluan terpaksa diubah menggunakan jalan lain,"katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri Said, 48, berkata, penduduk mengharapkan jambatan ganti dibina segera mengikut peruntukan yang telah diumumkan kerajaan.

"Tak lama lagi sekolah akan dibuka, kalau tak siap lagi jambatan ini agak susah penduduk nak bergerak.

"Setakat ini, ada titi kecil yang dibina oleh sukarelawan bencana yang boleh dilalui pengguna motosikal namun agak risiko apabila hujan lebat dan berlopak,"katanya.

Menurutnya, secara kebiasaan, jambatan berkenaan dilalui lebih 1,000 pengguna sehari dari beberapa buah kampung sekitar termasuk Kampung Pauh dan Bukit Tumbuh yang berulang-alik menggunakan laluan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Che Din Isa, 80, berkata, disebabkan jambatan asal runtuh, penduduk warga emas atau golongan ibu terpaksa menggunakan jalan jauh untuk mendapatkan barangan keperluan.

"Kalau boleh, nak cepat-cepat siap jambatan ini, akibat tragedi, ada yang masih trauma dan ketiadaan jambatan menambahkan kesukaran penduduk,"jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit menjelaskan, kerajaan akan memasang jambatan sementara jenis Bailey bagi menggantikan jambatan runtuh di Kampung Setol akibat kepala air, 18 Ogos lalu.

Menurut Sabri, pemasangan jambatan itu adalah langkah segera menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sementara menunggu pembinaan jambatan kekal daripada kerajaan persekutuan.

Menurutnya, langkah itu sebagai pelan jangka pendek sebagai kemudahan penduduk selepas jambatan sedia ada runtuh dibawa arus deras dalam tragedi terbabit.

"Jambatan Bailey akan dipasang terlebih dahulu dan apabila jambatan baharu siap, kita akan alih jambatan itu ke tempat lain yang memerlukan,"katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau.

Katanya, jambatan baharu akan dibina awal tahun hadapan setelah peruntukan dari KPLB.

Sebelum ini, peruntukan berjumlah RM75 juta telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Ogos lalu di mana peruntukan itu akan diguna bagi membaik pulih kawasan tragedi kepala air termasuk membina jambatan di kampung berkenaan serta Empangan Sabo di kaki Gunung Jerai bagi mengurangkan aliran arus deras ke penempatan.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati kerja-kerja pembersihan di lokasi runtuhan sedang dijalankan kemungkinan untuk pemasangan jambatan sementara Kampung Setol, Yan.

ARTIKEL BERKAITAN:Azan selamatkan rumah bilal daripada banjir lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!