Lemas ketika memukat ikan, korban pertama banjir di Kedah

Mayat mangsa ditemui anggota PPDA JBPM Kedah kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh di Kampung Seluang pada Khamis. - Foto JBPM Kedah
Mayat mangsa ditemui anggota PPDA JBPM Kedah kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh di Kampung Seluang pada Khamis. - Foto JBPM Kedah
A
A
A

JITRA - Seorang lelaki menjadi korban pertama banjir di Kedah apabila lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah padi berdekatan sungai di Kampung Seluang dekat sini pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa dikenali sebagai Omar Ismail, 22, ditemui sepasukan anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) JBPM Kedah pada jam 9.20 pagi.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui ketika anggota PPDA melakukan pencarian di permukaan air sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh, sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kampung Kubu sekitar 9.28 pagi," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi pencarian turut disertai sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan pasukan PPDA BBP Jitra dan Sungai Petani.

“Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut. Ini merupakan korban pertama banjir sejak bencana ini melanda Kedah sejak beberapa hari lepas," jelas beliau.

Pada Rabu, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan sawah yang dipenuhi air akibat banjir sebelum dihanyutkan ke sungai berhampiran ketika memukat ikan di Kampung Kubu.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, mangsa dikatakan bersama bapa mentuanya memukat ikan di lokasi kejadian sebelum dihanyutkan arus ke kawasan sawah bersebelahan sungai tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!