Segera selesaikan masalah kesesakan di penjara
GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap isu kesesakan penjara yang berlaku ketika ini.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, tindakan sewajarnya harus dilakukan segera termasuk membina lebih banyak penjara untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan menggantikan hukuman ringan yang dijatuhkan mahkamah dengan hukuman kerja sosial untuk mengatasi masalah kesesakan penjara.
"Masalah kesesakan penjara telah lama wujud, isu ini semakin hari semakin serius.
"Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Mohamad, sebanyak 61 peratus penjara di negara ini termasuk penjara di Pulau Pinang telah mengalami masalah kesesakan banduan.
"Sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah mengatasi masalah ini dengan segera. keadaan akan bertambah serius lebih-lebih lagi kesesakan melampau di penjara akan menyumbang kepada penularan Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, memandangkan kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat setiap hari, bilangan banduan yang dijatuhkan hukuman di mahkamah juga akan terus meningkat.
Katanya, sekiranya masalah kesesakan penjara tidak diselesaikan, banyak masalah sosial dan kesihatan akan berlaku kelak.
"Untuk menyelesaikan isu kesesakan penjara, pihak berkuasa harus mengambil tindakan secepat mungkin, bukan sekadar retorik dalam ucapan.
“Kami berpendapat jabatan penjara dan badan kehakiman harus mengadakan perbincangan mendalam berhubung isu ini untuk menyelesaikan masalah kesesakan penjara. Ia tidak harus dilengahkan lagi,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!