Pemulihan ekonomi berada di landasan betul melalui Bajet 2022

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi menjelang 2022 menerusi belanjawan pengembangan yang diumumkan Jumaat lepas, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis.

Beliau ketika bercakap dalam satu temu bual dengan Bloomberg pada Khamis berkata, kerajaan merancang untuk mengurangkan kerencatan ekonomi akibat pandemik Covid-19, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi kepada trajektori jangka sederhana.

"Tidak sewajarnya kita berhenti terlalu awal, kita mahu memastikan bahawa kesan ekonomi diminimumkan dan pertumbuhan ekonomi kembali kepada trajektori jangka sederhana.

"Daripada segi pembiayaan hutang, kita mempunyai kecairan yang mencukupi di pasaran. Jelas sekali, kita mempunyai asas pelabur yang pelbagai dan kita yakin bahawa pembiayaan hutang atau bon dapat dikumpulkan secara domestik,” katanya.

Di bawah belanjawan terbesar yang bernilai RM332.1 bilion, kerajaan telah memperkenalkan cadangan cukai melalui Bajet 2022 seperti cukai kemakmuran, kajian semula cukai keuntungan hartanah termasuk pengenaan cukai khidmat ke atas perkhidmatan penghantaran bagi melonjakkan pendapatannya.

"Memang kita telah mengumumkan satu cukai khusus iaitu cukai kemakmuran, yang merupakan cukai sekali sahaja. Ia hanya melibatkan peningkatan cukai (kutipan) secara marginal yang merangkumi lebih daripada 230 syarikat besar yang tersenarai di bursa saham, yang telah mencipta laba berlebihan semasa pandemik.

"Ia adalah cukai progresif sebanyak 9.0 peratus. Jadi ia bukan jumlah yang besar dan ini adalah untuk membantu membiayai pakej penjagaan kesihatan semasa pandemik Covid-19," kata Tengku Zafrul.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa pengenalan cukai kemakmuran bukan bersifat mesra perniagaan, dengan menjelaskan bahawa pasaran akan menyesuaikan diri dengan pengumuman itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak bimbang (tanggapan). Jika kita melihat di mana kita berada hari ini, jika anda melihat kekuatan mata wang dan ekonomi, dan seperti yang telah saya katakan, cukai progresif (akan) hanya melibatkan 230 syarikat tersenarai.

"Jika anda tengok kepada sektor perniagaan, kita telah memberikan pakej bantuan sebanyak RM40 bilion dan kita juga mempunyai program bernilai RM4.8 bilion membabitkan pekerjaan, ini menjamin 600,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Kita perlu melihatnya secara holistik dan fokus utama sekarang adalah kepada ekonomi serta mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan yakin dengan ekonomi pada 2022, yang bakal didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh dengan anggaran pertumbuhan antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun tersebut.

Setakat ini, 75 peratus daripada keseluruhan populasi yang merangkumi lebih 90 peratus penduduk dewasa Malaysia telah menerima vaksin

Tengku Zafrul berkata, dasar fiskal dan monetari Malaysia masih akomodatif dan kerajaan sedang berusaha mengurangkan defisit fiskal kepada 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2022 berbanding 6.5 peratus tahun ini.

"Masih ada ruang untuk kita gunakan dan dalam belanjawan, kita mengandaikan harga minyak berada pada sekitar AS$66 setong dan seperti yang anda tahu (sekarang) ia telah naik lebih tinggi daripada itu. Langkah-langkah cukai baharu ini pun tidak dimasukkan dalam aliran pendapatan negara pada tahun hadapan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!