'Saya sanggup tak sambut Deepavali, demi mak cik Sopiah'
ALOR SETAR - Seorang wanita sanggup melupakan hasrat meraikan Deepavali bersama keluarga di Kuala Lumpur kerana kasihan untuk meninggalkan seorang warga emas setelah kediamannya di Taman Tanjung Bendahara, di sini semakin dinaiki air.
P. Devika, 57, merancang menyambut Deepavali di Kuala Lumpur susulan kebenaran rentas negeri namun dia melupakan niat dan perancangan awal itu kerana tidak sanggup meninggalkan Sopiah Yusuf, 76, yang tinggal bersendirian selepas kematian suami manakala anaknya pula tinggal jauh.
"Tahun ini, saya sanggup tidak menyambut Deepavali kerana kasihan kepada mak cik Sopiah. Saya bimbang keadaan dia kerana banjir di kawasan taman perumahan itu semakin serius.
"Air naik sejak beberapa hari lepas di kawasan rumah mak cik Sopiah. Saya risau keadaannya yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan tidak mampu bergerak sedangkan air semakin naik.
"Paras air meningkat secara tiba-tiba sejak Rabu lalu dan terus hubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar untuk memindahkannya ke lokasi selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi APM Kota Setar membantu memindahkan mangsa banjir di Taman Tanjung Bendahara, di sini, pada Khamis.
APM Kota Setar mengambil masa hampir 30 minit untuk memindahkan seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam rumahnya yang dinaiki air.
Warga emas tersebut terpaksa diselamatkan selepas paras air di kawasan taman perumahan itu meningkat dan Devika tidak dapat membawanya ke lokasi selamat.
Devika kini menjaga Sopiah di rumahnya di Taman Sultan buat sementara waktu sehingga banjir surut dan keadaan kembali pulih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!