Blok wanita pembangkang lapor polis
KUALA LUMPUR - Blok wanita pembangkang membuat laporan polis berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kerjasama UMNO-Pas ibarat 'perang' terhadap orang bukan Melayu.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang diketuai oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad bersama Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Haslina Wan Hassan serta wakil dari Wanita MCA, Wanita MIC dan Wanita Kimma.
Noraini berkata, laporan polis ini adalah untuk mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan di bawah Akta Hasutan kerana kenyataan Guan Eng berunsur fitnah dan hasutan.
Menurutnya, laporan polis juga sebagai satu tindakan protes kerana sebagai menteri dan individu senior dalam politik perkara ini tidak harus berlaku.
"Malah, ini bukan pertama kali Guan Eng membuat kenyataan provokasi terutamanya bila ia berkaitan dengan kepelbagaian kaum di negara ini," katanya kepada media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini.
Noraini menambah, BN sejak dari dulu bersama parti komponen mendokong semangat satu Malaysia yang memperkasa keharmonian keagamaan dan perkauman.
Sementara itu, Wan Haslina berkata, sebagai pemimpin negara Guan Eng tidak wajar mengeluarkan kenyataan itu kerana ia menyakitkan hati rakyat Malaysia.
"Kita semua sakit hati, kita marah kenapa dia keluarkan kenyataan macam tu.
"Selama ini, macam itu ke keadaan kita, kerana ini bukan pertama kali UMNO-Pas bekerjasama, ketika BN memerintah pun hubungan ini telah baik.
"Kenapa ketika itu Guan Eng (semasa menjadi pembangkang) tidak celupar sebegitu dan kini bila dia ada kuasa, dia bertindak sedemikian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng, tak guna ‘berperang’!
Selasa lalu, UMNO dan Pas secara rasminya mengadakan pertemuan bersama bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama dua parti terbesar Melayu itu.
Mesyuarat perundingan yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu turut dihadiri barisan pimpinan kedua-dua parti.
Terdahulu, Guan Eng menyifatkan kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu dan kenyataannya itu disiatkan portal berita.
Dua jam kemudian, kenyataan itu diubah daripada ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’.
Walaupun kenyataan itu telah diubah ia tetap mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, parti politik dan warganet.
Mereka menuntut Guan Eng disiasat mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataannya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!