Jalan baharu ubah masa depan rakyat Ba'kelalan

Amar Awang Tengah
Amar Awang Tengah
A
A
A

LAWAS - Rancangan pembinaan dan menaik taraf jalan raya yang menghubungkan laluan dari pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia hingga ke Long Lopeng bakal membawa perubahan besar bagi kawasan Ba’kelalan di sini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, projek itu yang menggunakan peruntukan RM80 juta di bawah kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan diintegrasi dengan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).

Beliau berkata, kemudahan jalan raya yang berkualiti akan membuka peluang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung di sepanjang laluan itu sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Jaringan jalan raya amat penting. Kawasan Ba’kelalan amat strategik iaitu di sempadan negara jiran selain mempunyai potensi besar meningkatkan pemasaran produk pertanian dan ekopelancongan,” katanya kepada Bernama.

Baru-Baru ini, beliau meninjau kawasan sempadan Malaysia-Indonesia berhampiran Puneng Kelalan di Sarawak dan Long Midang di Kalimantan selama tiga hari dengan disertai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.

Awang Tengah berkata, apabila ada jalan yang baik, ramai akan menggunakannya untuk memudahkan penghantaran produk pertanian ke kawasan bandar dan ke negara jiran sekali gus sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Projek ini akan mempunyai jalan standard R3 dan bukannya R2 dan saya akan mencadangkan supaya kerja pembinaan dilakukan dari sempadan ke Long Lopeng seterusnya disambung dengan SSRL dari Lawas ke Long Lopeng,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu turut mengarahkan Jabatan Pengaliran dan Saliran mempercepat pelaksanaan projek tersebut yang boleh dilakukan serentak dengan SSLR.

Artikel Berkaitan:

“Pembinaan serentak jalan ini dengan SSLR di bawah Jabatan Kerja Raya akan mempercepat cadangan sambungan di Long Lopeng termasuk jalan masuk ke kampung yang tersenarai di sepanjang laluan tersebut,” katanya.

Beliau berkata pembinaan jalan baharu itu sekali gus akan memudahkan inisiatif kerajaan negeri dalam penyediaan bekalan elektrik dan air bersih bagi kawasan luar bandar dan pedalaman dapat dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari itu juga berkata, pembinaan jalan raya tersebut akan memudahkan penyediaan prasarana menara telekomunikasi yang sekali gus dapat memacu perkembangan pendidikan dan ekonomi digital rakyat tempatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa memastikan keperluan rakyat khususnya pembangunan infrastruktur diberi keutamaan.

Katanya usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Sarawak menikmati kemudahan pembangunan ke arah menjadikan bumi Kenyalang sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!