Anak-anak seronok kembali ke sekolah
ISNIN lalu anak Merak Jalanan kembali semula ke sekolah. Pengumuman pengoperasian institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka bermula 1 November lalu sememangnya melegakan Merak Jalanan.
Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka secara bergilir adalah langkah tepat bagi mengembalikan proses PdP yang berkualiti selepas terkesan akibat penutupan sekolah hampir setahun lalu akibat pandemik.
Teruja sungguh anak Merak Jalanan mahu bertemu rakan-rakan dan guru di sekolah sehinggakan tidak perlu dikejutkan untuk bersiap. Mudah urusan Merak Jalanan pada hari pertama persekolahan.
Lebih mudah lagi apabila pihak sekolah memberi kelonggaran dari segi pakaian. Kata guru besar, jangan beli uniform baharu, sebaliknya pakai apa yang ada asalkan bersesuaian dan sopan.
Berbeza seperti sebelum ini, murid diberikan jadual penggiliran. Anak Merak Jalanan termasuk dalam kumpulan A, manakala kumpulan B perlu menyiapkan tugasan di rumah.
Jadi tiada kesesakan berlaku. Semuanya tenang-tenang sahaja, sekali gus memadamkan segala rasa bimbang yang sesekali merasuk di fikiran.
Merak Jalanan yakin dan percaya pihak sekolah telah melakukan yang terbaik dari segi pelaksanaan dan pemantauan ketat prosedur operasi standard (SOP), sekali gus memastikan keselamatan murid-murid terjamin.
Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih diteruskan secara bergilir, namun bagi Merak Jalanan, murid-murid perlu ke sekolah untuk mendapat pendedahan terus daripada guru.
PdPR dan bersemuka adalah dua perkara berbeza. Fokus dan pendedahan juga berbeza. Walaupun kes Covid-19 masih tinggi, namun pendidikan adalah satu keperluan amat penting. Anak-anak perlu membiasakan diri dalam suasana sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!