‘Saya terpaksa minta bantuan’

Aksi antara Perak FC dan Terengganu FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu. - Foto FB TFC
Aksi antara Perak FC dan Terengganu FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu. - Foto FB TFC
A
A
A

KEMELUT kewangan yang melanda Perak FC seperti tiada kesudahan sehingga terpaksa memohon bantuan daripada pelbagai pihak bagi menampung pembiayaan mereka dalam mengharungi baki saingan Piala Malaysia.

Dalam satu mesej yang tular baru-baru ini, Perak FC memerlukan sekurang kurangnya RM20,000 bagi kos wajib perlawanan di laman sendiri dan RM25,000 bagi perlawanan di tempat lawan yang meliputi kos penginapan, pengangkutan dan makanan.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh ketika dihubungi Sukan Sinar mengesahkan mesej tular tersebut dengan memberi alasan masalah teknikal menjadi punca beliau terpaksa berbuat demikian.

“Saya perlu tebalkan muka untuk memohon bantuan kerana ketika itu, kami mempunyai masalah dengan cek pada saat-saat akhir sehingga menyebabkan kami tidak mempunyai duit untuk membiayai kos ketika menentang Terengganu Sabtu lepas.

“Kalau boleh saya tak mahu melakukan perkara itu tetapi terpaksa kerana kami sudah tidak mempunyai duit bagi menampung baki perlawanan Piala Malaysia,” katanya pada Khamis.

Masalah kewangan yang menimpa Perak FC berlaku sejak awal musim lagi sehingga menyebabkan skuad The Bos Gaurus itu menghadapi masalah pembayaran gaji pemain dan pegawai.

Situasi itu juga menyebabkan beberapa pemain utama meninggalkan Perak FC bermula dengan perpindahan kapten, Shahrul Saad serta penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Guilherme de Paula ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dua lagi pemain - Kenny Pallraj dan J Partiban pula membawa haluan baharu dengan menyertai KL City FC manakala Nazirul Naim ke Sabah FC sebelum trio import - Shakir Hamzah, Leandro dan Careca turut meninggalkan Perak FC.

Artikel Berkaitan:

Dengan ketiadaan beberapa tonggak utama selain masalah kewangan yang dihadapi, Perak FC terus dirundung malang apabila tersingkir ke Liga Premier musim depan selepas menduduki tangga ke-11 Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, pihaknya berjaya mengumpul sejumlah wang bagi menampung dua lagi baki perlawanan Piala Malaysia menentang Kuching City FC pada 7 November dan Selangor FC (10 November) di Stadium Perak.

“Baru baru ini, pihak kerajaan negeri juga memaklumkan akan memberi lagi sejumlah yang belum diketahui jumlahnya. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar (Datuk Saarani Mohamad) yang prihatin dengan kedudukan kewangan Perak FC.

“Alhamdullilah sumbangan yang diterima dapat membantu kami menghadapi baki dua perlawanan. Namun, ia masih belum cukup untuk perbelanjaan bagi tahun 2021. Jadi saya harap ada pihak sedia membantu kami,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!