Niat cari calon isteri mualaf termakbul
SEREMBAN - Hasrat seorang pemuda untuk mencari pasangan hidup seorang mualaf tercapai selepas dia diperkenalkan dengan seorang wanita menerusi laman Facebook Rakan Hidayah Center.
Muhammad Salman Rahim, 27, selamat diijabkabulkan dengan Sofea Mardhiyah Bansa, 29, yang sebelum ini beragama Kristian pada 23 Oktober lalu di Pejabat Agama Islam Seremban di sini.
Menurutnya, hatinya terdetik untuk mencari calon isteri mualaf sejak dua tahun lalu kerana kagum dengan semangat seorang saudara baharu mendalami Islam.
"Bukan mudah untuk seseorang itu meninggalkan agama dianutinya sejak kecil untuk memeluk agama Islam lebih-lebih lagi bagi seorang wanita.
"Ia membuatkan saya rasa kagum dengan semangat mereka menyebabkan saya memasang niat untuk mencari isteri seorang mualaf sebagai menghargainya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Muhammad Salman yang bekerja di syarikat penghantaran barang di Kedah berkata, sebelum berkenalan dengan isterinya, dia meminta bantuan daripada ibu bapa terlebih dahulu untuk mencari calon isteri mualaf.
Bagaimanapun, katanya, tiada calon yang sesuai sehinggalah dia mencuba nasib menghubungi Rakan Hidayah Center yang juga merupakan pusat sokongan saudara baharu.
"Seorang doktor di situ beritahu ada seorang wanita baru masuk Islam pada Februari lalu.
"Saya tak ambil masa lama untuk mengenali isteri dan kami taaruf (berkenalan) melalui WhatsApp pada Jun lalu dan saya terus menyatakan hasrat mahu memperisterikannya," katanya.
Menurutnya, mereka berdua mengikat tali pertunangan pada 20 Julai lalu secara dalam talian.
Menariknya, Muhammad Salman buat kali pertama bertentang mata dengan isterinya ketika hari mereka diijabkabulkan.
"Dalam tempoh taaruf, kami tak banyak sangat berbual, sekadar berbincang hal-hal penting. Kiranya, kami ini bercinta selepas kahwin.
"Cuma sepanjang perkenalan dengan isteri, saya nampak kesungguhan dia nak belajar agama Islam dan itu membuatkan hati saya lagi tertarik.
"Doakan ikatan perkahwinan kami ini hingga ke syurga," katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Negeri Sembilan dan Hidayah Centre Negeri Sembilan turut meraikan pasangan itu dalam satu majlis ringkas di dewan Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Nilai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!