MADA yakin strategi DAN 2.0

Ahmad Tarmizi (dua dari kiri) turun padang bagi memantau program kawalan perosak dan penyakit padi di Kawasan Muda.
Ahmad Tarmizi (dua dari kiri) turun padang bagi memantau program kawalan perosak dan penyakit padi di Kawasan Muda.
A
A
A

Beri impak positif kepada industri padi di kawasan Muda

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersama 57,635 peladang di Kawasan Muda menzahirkan sokongan kepada Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 25 Oktober lalu.

Pelancaran DAN 2.0 (2021-2030) menjadi momen bersejarah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) apabila perancangan holistik agromakanan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang telah dibangunkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan tumpuan DAN 2.0 kepada empat subsektor utama iaitu padi dan beras, buah-buahan dan sayuran, ternakan serta perikanan membuktikan penggubalan DAN 2.0 mampu menjamin rantaian bekalan makanan tidak terganggu.

MADA yang menguruskan 100,685 hektar kawasan penanaman padi di negeri Kedah dan Perlis yang menyumbang 40% pengeluaran tahunan padi negara berpandangan agenda memperkasakan makanan ruji rakyat Malaysia ini diangkat dan dirancang secara mampan.

“MADA komited untuk memajukan industri padi negara selari dengan motto n MADA - nadi jelapang padi negara,” tegasnya.

Pelancaran DAN 2.0 menekankan objektif kesejahteraan sosial rakyat yang majoritinya kumpulan B40 melalui peningkatan tahap sara diri (SSL) beras daripada 63% pada tahun 2019 kepada 75% pada tahun 2025 dan 80% pada tahun 2030.

Pendekatan penanaman padi smart sawah berskala besar (Smart SBB) yang diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah dilihat mampu mendokong usaha peningkatan SSL.

Artikel Berkaitan:

“MADA mensasarkan sejumlah 10,000 hektar sawah padi akan menyertai program ini menjelang tahun 2025.

“Program yang menekankan kaedah pengurusan secara berpusat dan juga pertanian kontrak ini dijangka dapat meningkatkan hasil padi daripada 5.89 tan sehektar kepada 6.5 tan,” katanya.

Ahmad Tarmizi (kiri) bersama Pengerusi PPK MADA Kepala Batas, Md Tarmizi Ramli (tengah) mengadakan libat urus bersama peladang MADA di kawasan bagi mendapatkan maklum balas isu semasa.
Ahmad Tarmizi (kiri) bersama Pengerusi PPK MADA Kepala Batas, Md Tarmizi Ramli (tengah) mengadakan libat urus bersama peladang MADA di kawasan bagi mendapatkan maklum balas isu semasa.

Beliau berpendapat, peningkatan SSL seiring dengan penurunan nilai import beras dan juga pertumbuhan KDNK sektor pertanian bagi tempoh tersebut.

“Industri ini perlu memanfaatkan strategi yang dibentuk seperti pengurusan penggunaan sumber yang lebih baik, aplikasi pertanian pintar, penggalakkan penyertaan golongan muda, penglibatan lebih ramai sektor swasta di dalam industri dan sebagainya.

“Selain tumpuan kepada sektor padi, MADA turut menyokong pembangunan sub sektor lain seperti ternakan, akuakultur, tanaman dan juga keusahawanan yang berasaskan pertanian dan industri makanan. Sektor ini menjadi sektor kedua penting kepada masyarakat di dalam Kawasan Muda.

“Pada ketika ini sub sektor sokongan yang terdiri daripada 2,402 orang usahawan dan agroprenuer muda menyumbang sebanyak RM180 juta nilai jualan kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Perubahan

Menjelang tahun 2025, disasarkan sejumlah 2,800 orang usahawan dan agroprenuer muda dibangunkan dengan anggaran nilai jualan bagi keseluruhan sektor berjumlah RM1 bilion bagi tempoh lima tahun.

Mereka akan terus dibimbing melalui pelaksanaan inisiatif dan geran yang bersesuaian bagi mengukuhkan keupayaan perniagaan.

Penekanan kepada inisiatif e-dagang, kualiti produk dan pembungkusan serta pengeluaran tanaman kontan akan memberi tambahan pendapatan kepada peladang-peladang MADA.

Beliau tidak menolak kejayaan pelaksanaan sesebuah dasar amat bergantung kepada kumpulan penggerak atau pelaksana yang merupakan sebahagian daripada enablers.

“Dalam konteks ini, pesawah yang bernaung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan MADA (PPK) memainkan peranan penting.

“Keupayaan khidmat sokongan dan teknikal meliputi penyaluran input pertanian, perniagaan PPK serta ejen di lapangan akan ditingkatkan selaras dengan perkembangan revolusi industri 4.0,” tegasnya.

TARMIZI
TARMIZI

Sejajar dengan agenda pembangunan nasional seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, pelbagai elemen diaplikasikan dalam pembentukan program-program MADA, antaranya:

- Penggunaan Geographic Information System (GIS) sebagai pangkalan data, alat pemantau dan menganalisis prestasi tanaman padi.

- Penggunaan drone pertanian bagi aktiviti menyembur racun serta menabur benih.

- Penggunaan jentera dengan kaedah internet of things (IoT) diperhebatkan.

- Mengoptimumkan pelaksanaan program dalam RMKe-12) untuk tempoh 2021-2025.

MADA menerima peruntukan berjumlah RM727.7 juta bagi pelaksanaan 10 projek baharu dan sambungan meliputi sektor tanaman padi, industri makanan, pembangunan infrastruktur, tadbir urus dan juga big data.

Ahmad Tarmizi turut menyifatkan DAN 2.0 menjadi titik tolak kepada perubahan landskap ekonomi pertanian khususnya di Kawasan Muda bagi tempoh satu dekad mendatang.

Katanya, pendapatan peladang di kawasan Muda dijangka dapat ditingkatkan kepada julat antara RM2,500 sehingga RM5,000 sebulan berbanding sebelumnya iaitu RM2,000 sebulan.

“Pembentukan DAN ini diharap dapat memacu sebuah perubahan yang signifikan. MADA yang kini memasuki usia jubli emas bersama kepimpinan YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee akan terus bekerja bersama rakyat melalui penerapan budaya teknologi, efisien dan unggul bagi meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk desa sekali gus melengkapkan keperluan negara,” katanya.

Sokongan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan MADA, Ishak Taib berkata, peningkatan tahap sara diri bagi komoditi beras dari 63% pada tahun 2019 kepada 80% menjelang 2030, membuktikan industri padi dan beras amat penting dalam menjamin sekuriti makanan negara sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peladang-peladang MADA.

ISHAK
ISHAK

“Isu-isu dan cabaran dilihat secara mendalam menerusi penggubalan DAN 2.0 dan penambahbaikan dilakukan bagi pengurusan tanah dan air dalam usaha meningkatkan hasil peladang.

“Potensi varieti beras istimewa tempatan dilihat dapat membantu peladang membuat pilihan yang lebih berkualiti dan berhasil tinggi,” katanya.

Beliau turut menyokong penstrukturan semula bantuan kewangan sedia ada dengan memperhalusi bantuan input dan output bagi mengurangkan kos operasi pesawah.

Katanya, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan purata pendapatan bersih sawah dari RM2,000 sebulan kepada RM2,500 hingga RM5,000 sebulan menjelang 2025.

Beliau turut berharap penglibatan pihak swasta membantu meningkatkan purata hasil padi dari 5.89 tan/hektar kepada 6.50 tan/hektar bagi Kawasan Muda.

“Penggunaan teknologi moden seperti penggunaan drone dilihat dapat mengatasi isu kekurangan tenaga buruh di peringkat lading.

“Ia juga menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian. MADA perlukan pelapis dalam industri ini,” katanya yang menyokong penuh strategi DAN 2.0 bagi membela nasib peladang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!