Agong titah kajian holistik dilakukan di Kampung Baru Karak

Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah mencemar duli meninjau tapak kebakaran di Kampung Baru Karak yang berlaku pada 1 Oktober lalu.
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah mencemar duli meninjau tapak kebakaran di Kampung Baru Karak yang berlaku pada 1 Oktober lalu.
A
A
A

BENTONG - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, satu kajian menyeluruh dan holistik perlu dilakukan untuk memastikan pembangunan sebaik mungkin dilaksanakan di Kampung Baru di Karak, di sini.

Seri Paduka Baginda bertitah sedemikian, susulan tragedi kebakaran di kampung berkenaan pada 1 Oktober lalu yang melibatkan 51 buah rumah dan 11 premis perniagaan.

"Tidak keterlaluan untuk saya katakan, kalau boleh untuk fikir, kaji semula dari segi keselamatan. Mungkin untuk masa akan datang, satu kajian holistik yang menyeluruh di kawasan ini dibangunkan sebaik mungkin dengan aspek-aspek keselamatan khususnya berkaitan rumah berdekatan, elektrik yang mencukupi dan kegunaan air ketika waktu kecemasan.

"Kita tidak boleh semata-mata mengharapkan dengan apa yang ada sekarang, tapi perlu kaji untuk keselamatan seluruh kawasan ini," titah Seri Paduka Baginda ketika mencemar duli bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke tapak kebakaran di Kampung Baru Karak dan menyantuni mangsa terlibat, pada Jumaat.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Rahim Muda bersama Pegawai Daerah, Datuk Mohd Zulkifli Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, pihak-pihak tertentu seperti pihak pentadbiran atau perseorangan termasuk syarikat boleh tampil dengan idea-idea lebih bernas.

Sebelum itu Seri Paduka Baginda yang tiba bersama Tunku Azizah sekitar jam 10.10 pagi terlebih dahulu mendengar sembah taklimat kejadian daripada Zulkifli serta kemudian mencemar duli hadir ke Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) Kampung Baru Karak sekali gus mendengar sembah taklimat cadangan pembangunan semula kampung berkenaan oleh Tiong Lai.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah menerima replika cek yang disampaikan untuk tabung pembangunan Kampung Baru Karak.
Al-Sultan Abdullah menerima replika cek yang disampaikan untuk tabung pembangunan Kampung Baru Karak.

Penyerahan sumbangan cek daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, IINFRA Sdn. Bhd. Ikhasas Group dan Datuk Nelson Tan bagi pembangunan Kampung Baru Karak bernilai RM1.18 juta turut berlangsung.

"Saya harap semua mangsa terus bersabar dan tekad azam untuk bangkit semula memperbaharui kehidupan walaupun dalam suasana sukar berikutan negara dilanda Covid-19," titah Seri Paduka Baginda lagi.

Seri Paduka Baginda turut bertitah, supaya kerajaan negeri dapat memberi pertimbangan daripada segi peraturan pembangunan semula kawasan yang musnah dalam kebakaran tersebut.

“Saya percaya kerajaan negeri dapat mempertimbangkan peraturan yang sedia ada. Kita tahu sejarah kawasan ini dan sejarah bagaimana mereka di kawasan ini. Sudah pasti setiap inci tanah ini amat berharga kepada mereka dan keluarga. Saya percaya mereka tidak mahu kehilangan rumah dan harta-harta di sini," titah Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka serta mengambil suntikan vaksinasi Covid-19.

"Dalam rekod, orang telah mengambil vaksin lebih selamat dari orang yang tidak divaksin. Sebagai Agong, saya nasihat semua kena ambil vaksin supaya kita dapat jaga orang-orang di sekeliling kita,” titah Seri Paduka Baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!