Ops Menu pastikan pematuhan tanda harga, alat timbang
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Menu bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas restoran dan kedai makan.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, Ops Menu ini dilancarkan antara lain bertujuan untuk memastikan pematuhan ke atas perundangan berkaitan penandaan harga dan penggunaan alat timbang yang sah bagi mengelakkan manipulasi harga serta penipuan oleh segelintir peniaga yang tidak beretika.
“Ops Menu memberi fokus pemeriksaan ke atas semua premis yang menyedia makanan siap masak termasuk restoran dan kedai makanan Melayu, Cina, India dan India Muslim.
''Selain itu, ia juga meliputi medan selera, restoran makanan laut dan seumpamanya.
“Sasaran pemeriksaan melibatkan tanda harga, alat timbang dan sukat yang digunakan oleh restoran serta kedai makan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, KPDNHEP memberi peringatan kepada semua pengusaha restoran dan kedai makan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan khususnya berkaitan penandaan harga dan alat timbang bagi mengelakkan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
“Denda boleh dikenakan jika ia bukan sebuah pertubuhan perbadanan tidak melebihi RM50,000 atau jika ia adalah satu pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM100,000.
“Bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 pula, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya.
Azman turut menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dan bijak membuat pilihan dalam berbelanja dengan memilih restoran dan kedai makan yang beretika.
Antaranya mempamerkan tanda harga yang jelas dan menggunakan alat timbang yang masih sah tempohnya untuk mengelakkan diperdaya oleh segelintir peniaga tidak beretika.
“Pengguna dinasihat menggunakan kuasa yang ada termasuk membuat perbandingan harga, pilihan restoran dan kedai makan yang menawarkan harga serta perkhidmatan yang terbaik sebelum menikmati juadah.
“Kuasa pengguna merupakan langkah pencegahan terbaik sebelum terkeliru atau dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dan tindakan penguatkuasaan adalah jalan terakhir ke atas peniaga berkenaan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!