Beri kelonggaran pembangunan semula Kampung Baru Karak

Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) bersama Tunku Azizah (tiga dari kiri) serta Tiong Lai (kanan) ketika sesi taklimat kejadian bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBPM) Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (kiri) di tapak kebakaran Kampung Baru Karak di Bentong.
Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) bersama Tunku Azizah (tiga dari kiri) serta Tiong Lai (kanan) ketika sesi taklimat kejadian bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBPM) Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (kiri) di tapak kebakaran Kampung Baru Karak di Bentong.
A
A
A

BENTONG - Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak merayu agar kelonggaran dan pengecualian beberapa syarat dapat diberikan bagi tujuan pembangunan semula rumah di kampung berkenaan selepas tragedi kebakaran pada 1 Oktober lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia berikutan terdapat beberapa syarat pembangunan yang tidak dapat diikuti antaranya faktor keluasan yang terhad di kampung terbabit.

“Kita dah ada satu pelan yang menyeluruh untuk membangunkan rumah-rumah mereka tapi memandangkan ini kawasan tanah Kampung Baru terhad, jadi ia tidak dapat memenuhi kesemua syarat.

"Contohnya kalau ikut kepada perumahan biasa, ada banyak syarat tetapi Kampung Baru tidak dapat memenuhi semua kriteria, namun kita akan pastikan ia memenuhi syarat-syarat yang penting untuk keselamatan dan keselesaan penduduk.

“Itu tidak boleh dikompromi dan kita akan pastikan semua syarat minima mengikut undang-undang dipatuhi bagi membangunkan semula (kawasan yang musnah akibat kebakaran),” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli ke tapak kebakaran di Kampung Baru Karak dan menyantuni mangsa terlibat.

Liow Tiong Lai
Liow Tiong Lai

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, sekiranya kelonggaran dapat diberikan bagi pembangunan semula kawasan terjejas, beliau menjangkakan kawasan ini dapat dibina semula menjelang awal tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu saya telah mencadangkan kepada kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan untuk memohon kelonggaran, memohon pengecualian sesetengah syarat, bukan semua syarat agar pembinaan dapat berjalan lancar.

“Jadi sekiranya mendapat kerjasama dan juga bantuan daripada agensi berkaitan, kita dapat bangunkan projek ini atau pun perumahan seawal tahun depan," tambahnya.

Beliau berkata, kesemua mangsa terlibat amat mengharapkan rumah tersebut berikutan kesukaran yang dihadapi mereka buat masa ini khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, jawatankuasa tersebut telah memiliki reka bentuk rumah baharu yang akan dibina membabitkan 48 rumah dengan tiga bilik dan lebih keluasan.

Mengulas keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Tunku Azizah ke kampung tersebut, jawatankuasa bersama penduduk terlibat terharu selain berbangga kerana ia situasi yang jarang berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!