Pak Ya gembira dapat rumah
KUALA KETIL - Hanya kata-kata syukur mampu diungkapkan bekas banduan paling lama dipenjara apabila permohonan bantuan rumah diluluskan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Banduan dipenjara 39 tahun, Zakaria Man, 64, atau mesra membahasakan diri sebagai Pak Ya berkata, dia tidak menyangka rumah yang diidamkan telah dibina di atas tapak tanah ibu mertua, Rokiah Ali, 90, di Kampung Charok Bakap di sini.
Menurutnya, permohonan rumah itu dibuat pada Januari tahun lalu diluluskan beberapa bulan selepas itu.
"Dalam bulan Oktober, saya pergi ke pejabat LZNK untuk tanya status rumah dan diberitahu permohonan telah lulus. Tetapi waktu itu belum dipastikan tarikh rumah akan dibina.
"Tidak lama kemudian, wakil LZNK maklum nak pi tengok tapak untuk bina rumah, Pak Ya tak tau nak cakap apa waktu itu. Perasaan ini sangat gembira sampai mengalirkan air mata," katanya kepada Sinar Harian pada majlis kesyukuran menerima rumah dan kenduri arwah di Kampung Charok Bakap, semalam.
Katanya, rumah sumbangan LZNK itu mempunyai sebuah bilik, ruang tamu, tandas, dan bahagian dapur itu siap dibina pada Februari lalu.
"Walaupun rumah ini tidaklah sebesar mana tetapi saya dan isteri (Saodah Rashid, 40) bersyukur kepada ALLAH kerana mempunyai tempat berteduh. Kami akan tinggal di sini dalam masa terdekat," katanya.
"Kami juga ucapkan terima kasih kepada LZNK serta pembayar zakat yang membantu," katanya.
Tambahnya, buat pertama kali dalam hidup, dia dapat mengadakan kenduri kesyukuran menggunakan wang hasil titik peluh sendiri.
Pak Ya yang berasal dari Charok Tok Uban Sik dan dibesarkan di Alor Janggus, Alor Setar kini bekerja sebagai tukang sapu sampah dengan syarikat E-Idaman di Pekan Kuala Ketil.
Berkongsi kisah hidup, Pak Ya berkata, dia bekerja di sebuah kantin di Alor Setar selepas dibebaskan pada Januari 2016.
"Pada bulan November tahun sama keluarga nikahkan Pak Ya dengan isteri. Tahun 2017 barulah pindah ke kampung isteri di Charok Bakap dan tinggal di rumah mak mertua," katanya.
Bercerita lanjut, Pak Ya berkata, dia mahu menikmati perjalanan hidupnya dengan mengerjakan umrah suatu hari nanti.
"Pak Ya dipenjara tahun 1977 pada usia 22 tahun dan dibebaskan pada 2016 ketika usia 61 tahun. Walaupun sudah berusia, Pak Ya bersyukur dapat jalani hidup sebagai manusia lain.
"Sejak dalam penjara, Pak Ya bernazar untuk tunaikan umrah seandainya dibebaskan. Sekarang ini tengah kumpul duit untuk melangkah ke tanah suci," katanya.
Sinar Harian pada 2016 melaporkan kisah hidup Pak Ya yang dipenjara selama 39 tahun di Penjara Pokok Sena.
Bagi yang berhasrat bantu Pak Ya menunaikan umrah boleh salurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 02100-41-00037133-7 atas nama Zakaria Man atau boleh hubungi talian 013-4588945
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!