PRN Sarawak: SUPP sudah ada nama calon
MIRI - Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sudah mengenal pasti nama calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting pada Jumaat.
Sebastian mengakui sudah ada perbincangan yang dijalankan SUPP untuk menamakan calon yang akan diberikan mandat parti bagi bertanding dalam PRN Sarawak yang dijangka bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
“Ya, sudah ada nama calon tetapi biar presiden parti (Datuk Seri Dr Sim Kui Hian) (yang akan umumkan),” katanya ringkas kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Beliau ditemui ketika menghadiri upacara Pecah Tanah Gereja Holy Spirit Bandar Permyjaya yang dirasmikan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin merangkap Naib Presiden SUPP.
Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, gabungan itu akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.
GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRN Sarawak ke-11, SUPP bertanding sebanyak 13 kerusi dan memenangi tujuh kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Batu Kawa, Batu Kitang, Simanggang, Repok, Meradong dan Piasau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!