Ziyad terbukti lewat hadir ke bilik menunggu

Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.- Foto fail Bernama
Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.- Foto fail Bernama
A
A
A

JAWATANKUASA Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden yang menimpa jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mendapati dia terbukti lewat untuk tiba di bilik menunggu sehingga dibatalkan penyertaannya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan tersebut dibuat hasil daripada sesi temubual serta dokumen-dokumen yang diperolehi dalam tempoh siasatan.

“Atlet dan jurulatih berkenaan tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di CallRoom 1, walaupun pada anggapan mereka berdua bahawa mereka telah sampai sebelum tamat waktu pendaftaran.

“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh World Para Athletic (WPA) bagi isu Ziyad, pihak Persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan “DidNotStart(DNS).

“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador telah melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan, pada Jumaat.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

“KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikkan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Meskipun sedemikian lontaran yang dibuat oleh Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan diharga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ziyad sebelum in dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai DNS atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!