'Nilailah kami sebagai aset pasukan, bukan barang pakai buang'
PRESIDEN Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Mohd Safee Sali meminta pasukan bola sepak tempatan agar menghargai pemain dan tidak mengambil kesempatan ke atas mereka.
Penyerang Kuala Lumpur City FC itu berkata, isu kebajikan pemain seperti tunggakan gaji, manipulasi kontrak, pemain tidak dilindungi insurans, pemain cedera tidak mendapat perhatian sewajarnya dan gaji dipotong kerana kecederaan adalah antara isu yang sentiasa menghantui pemain bola sepak profesional di Malaysia.
Beliau berkata, PFAM menerima pelbagai aduan daripada pemain mengenai permasalahan berkaitan kebajikan dan hak mereka yang dikhuatiri membantutkan usaha membangunkan sukan bola sepak negara.
“Isu yang saya nyatakan ini sepatutnya tidak berlaku di era profesional. Ia juga tidak berlaku di negara maju. Nilailah kami sebagai aset pasukan, bukan sebagai barang dagangan yang sesuka hati dipakai buang.
“Selaku pemain, percayalah sekiranya kelab benar-benar menghargai kami, kami akan lebih bersungguh-sungguh untuk bermain demi kelab kerana ingin membalas kepercayaan yang diberikan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat
Tanpa berniat menyebelahi sesiapa, Mohd Safee berkata, orang ramai boleh menilai bekas pasukannya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC apabila pemain sentiasa berusaha keras serta memberikan segala-galanya di atas padang kerana budaya profesionalisme yang sangat tinggi diterapkan oleh pengurusan pasukan.
Beliau berkata, selaku bekas pemain di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mewakili JDT, baginda sangat menitikberatkan aspek kebajikan pemain dan turut membantu pemain yang telah bersara.
“Ironinya juga sekalipun TMJ adalah pemilik kelab, TMJ juga agak lantang menyuarakan hal kebajikan pemain dan ini sepatutnya menjadi contoh buat pemilik kelab lain untuk berbuat hal yang sama,” ujarnya.
Mohd Safee turut memaklumkan PFAM sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pasukan khususnya pemilik kelab untuk mengadakan perbincangan bagi berkongsi hal ehwal pengurusan kebajikan pemain.
Bekas pemain Selangor itu juga meminta pemain yang berdepan masalah berkaitan kontrak dengan pasukan agar tampil membuat aduan rasmi kepada PFAM agar mereka boleh membantu memperjuang hak pemain terbabit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!