Sawah ditenggelami air, pesawah minta JPS selenggara parit

Keadaan petak sawah penduduk yang ditenggelami air menyebabkan pesawah menunda penanaman padi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan petak sawah penduduk yang ditenggelami air menyebabkan pesawah menunda penanaman padi. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - Lebih 20 pesawah di Kampung Parit Mat Keling di sini berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera membantu menyelenggara sistem perparitan yang menyebabkan petak sawah padi mereka bertakung.

Ketua Unit Peladang, Norpazli Samad berkata, keadaan itu membuatkan pesawah di kawasan seluas 20 hektar itu terpaksa menunda jadual penanaman padi yang sepatutnya bermula pada 22 Oktober lalu.

"Apabila melihat keadaan parit buang yang dipenuhi semak ini bagaimana kami dapat buang air daripada petak sawah.

"Pesawah di sini tidak berani mengambil risiko untuk menanam padi. Ada pesawah yang mulakan proses penanaman tapi kini sawah mereka tenggelam dan anak padi yang berusia 10 ke 15 hari telah musnah," katanya di sini pada Jumaat.

Norpazli (kanan) menunjukkan keadaan parit yang tidak diselenggarakan hingga dipenuhi semak di Kampung Parit Mat Keling, Bagan Serai. - Foto ihsan pembaca
Norpazli (kanan) menunjukkan keadaan parit yang tidak diselenggarakan hingga dipenuhi semak di Kampung Parit Mat Keling, Bagan Serai. - Foto ihsan pembaca

Menurutnya, aduan telah disalurkan kepada pihak berkaitan termasuk mesyuarat khas ketua unit peladang pada Selasa minggu lalu namun tiada tindakan diambil.

"JPS ada membekalkan pam bergerak bagi membuang air yang bertakung dalam parit buang dan petak sawah, namun ia tidak berkesan kerana terhalang dengan semak di parit itu.

"Pihak kontraktor yang dilantik juga ada berjanji untuk membersihkan parit buang itu namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pazli berkata, mereka berharap tindakan segera dapat diambil kerana pesawah sudah hampir dua minggu terlewat daripada jadual asal penanaman padi yang ditetapkan Jabatan Pertanian.

Katanya, pesawah juga terpaksa mengeluarkan belanja bagi kerja-kerja meracun rumput dan membajak tanah jika keadaan itu berterusan selain menjejaskan hasil tanaman padi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!