Eropah kembali jadi pusat aktif wabak Covid-19
BUDAPEST - Kes jangkitan Covid-19 di kebanyakan negara Eropah kembali melonjak menjelang ketibaan musim sejuk.
Ancaman pandemik itu yang semakin meningkat telah mengundang kebimbangan komuniti di rantau berkenaan menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa pemerintah bertindak segera untuk menangani gelombang jangkitan baharu.
Lonjakan semula kes terutamanya di kawasan Eropah Timur turut mencetuskan perdebatan sama ada sekatan Covid-19 perlu dilaksanakan semula sebelum cuti perayaan Hari Natal dan bagaimana untuk meyakinkan orang ramai supaya mengambil vaksinasi.
"Trend penularan wabak itu di seluruh 53 negara di rantau Eropah adalah sangat membimbangkan," kata Pengarah Serantau WHO, Hans Kluge pada Khamis setelah kajian menunjukkan virus tersebut merebak dengan cepat ketika musim sejuk.
Beliau turut memberi amaran jika situasi itu berterusan di Eropah, rantau tersebut akan mencatatkan sehingga 500,000 kematian berkaitan Covid-19 menjelang Februari 2022.
"Kita perlu mengubah taktik yang diguna pakai pada masa ini, sekali gus menghalang penyebaran secara lebih meluas. Kita sekali lagi menjadi pusat aktif wabak tersebut," ujarnya.
Menurutnya, peningkatan luar biasa itu kini sedang dipantau dengan teliti pada setiap peringkat umur.
Difahamkan, jumlah kes jangkitan baharu telah meningkat selama hampir enam minggu berturut-turut selain angka korban Covid-19 mencatatkan lonjakan untuk tempoh lebih tujuh minggu lalu dengan merekodkan kira-kira 250,000 kes dan 3,600 kematian sehari.
Sejak minggu lalu, Rusia melaporkan angka korban tertinggi dengan 8,162 kematian disusuli Ukraine, 3,819 kematian; dan Romania, 3,100 kematian.
Selain itu, rantau Eropah menyaksikan peningkatan enam peratus kes jangkitan baharu dengan hampir 1.8 juta kes baharu dilaporkan dengan kematian meningkat kepada 12 peratus pada tempoh sama berbanding seminggu sebelum itu. - Agensi
Info
>Rantau Eropah yang merangkumi 53 negara dan wilayah termasuk beberapa negara di Asia Tengah mencatatkan 78 juta kes jangkitan. Jumlah kumulatif di rantau berkenaan kini melepasi angka gabungan kes di Asia Tenggara, Mediterranean Timur, Pasifik Barat dan Afrika.
>Pemerintah Hungary mengumumkan vaksinasi mandatori di institusi kerajaan dan turut menggalakkan firma swasta untuk mengambil langkah sama.
>Romania, Republik Czech, Slovakia dan Poland kembali mewajibkan pemakaian pelitup muka serta memperkenalkan langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 selepas berdepan lonjakan semula kes jangkitan Covid-19.
>Jerman mencatatkan 33,949 kes jangkitan baharu yang merupakan angka harian tertinggi sejak pandemik bermula tahun lalu.
>Kes jangkitan melibatkan kanak-kanak dan lonjakan di kawasan barat daya menyumbang kes tertinggi di England.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!