Nasib dua bekas ADUN ditentukan malam ini

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

MELAKA - Nasib dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini akan ditentukan malam ini atau awal pagi esok.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH boleh memberi ruang kepada dua ADUN berkenaan untuk mewakili PH dengan syarat mereka menerima dasar kepelbagaian dalam pakatan itu.

"Maka sebab itulah daripada empat (bekas ADUN) itu, setakat yang saya faham, PKR akan pilih satu dan Amanah pilih satu (bekas ADUN untuk bertanding pada PRN Melaka)... akan dimuktamadkan lewat malam ini," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian di sini malam ini.

Pada 4 Oktober lepas empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman, sekali gus menyebabkan pembubaran DUN Melaka.

Terdapat ura-ura keempat-empat bekas ADUN berkenaan akan bertanding di bawah tiket PH namun Majlis Presiden PH menolak pencalonan semula Norhizam di bawah PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!