Dua jam tangkap ular sawa batik 80kg
IPOH - Seekor ular sawa batik seberat 80 kilogram (kg) berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sebuah padang golf di Meru Raya di sini pada Jumaat.
Ketua Shift APM Daerah Kinta, Leftenan Muda (PA) Mohd Nazri Sulaiman berkata, reptilia sepanjang 5.4 meter itu berjaya ditangkap selepas menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 12 tengah hari.
Menurutnya, dia bersama empat anggota mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap ular berkenaan.
"Ketika sampai ular itu didapati melingkar dalam semak di tepi padang golf yang dibimbangi membahayakan pengunjung dan penduduk berhampiran.
"Haiwan berkenaan mula bertindak agresif ketika ditangkap selain menyerang anggota dipercayai kerana lapar. Kami menggunakan alat khas untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi di sini.
Kata Mohd Nazri, reptilia berkenaan dibawa ke Pejabat APM Daerah Kinta dan akan dilepaskan ke habitat asal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!