Nelayan pantau cuaca sebelum turun ke laut
KOTA KUALA MUDA - Golongan nelayan dilihat masih meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa biarpun amaran fenomena air pasang dikeluarkan antara 4 hingga 7 November ini.
Nelayan, Muhammad Ikmal Iman Norizan, 22, berkata, keadaan cuaca baik tidak menghalang mereka keluar menangkap ikan meskipun dimaklumkan jangkaan fenomena air pasang berlaku.
"Setakat ini, kami keluar tangkap ikan macam biasa kecuali apabila ada ribut sehingga menyebabkan kesukaran dan risiko keselamatan diri," katanya ketika ditemui di Jeti Pulau Sayak pada Jumaat.
Menurutnya, bagi memastikan keadaan di tengah laut selamat untuk aktiviti perikanan, para nelayan membuat semakan di aplikasi ramalan cuaca melalui telefon pintar.
"Sebelum keluar, kami pantau cuaca dulu menerusi aplikasi, kalau selamat, baru teruskan perjalanan.
"Jika ramalan cuaca menunjukkan keadaan tidak selamat, kami akur dan berpatah balik," jelasnya.
Sementara itu, Mohamad Zubir Abd Razak, 24, berkata, bagi memastikan keadaan selamat untuk aktiviti menangkap ikan, mereka turut mendapatkan maklumat dari rakan nelayan bot besar yang berada di tengah laut.
Menurutnya, aktiviti menangkap ikan adalah sumber pendapatan utama golongan nelayan dan tanggungjawab itu diteruskan bagi menyara keluarga.
"Bagaimanapun, kami tetap mementingkan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Muda, Kedah, Mohamad Kamal Abidin berkata, setakat ini, makluman berhubung fenomena air pasang besar telah disebarkan dan meminta nelayan berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Menurutnya, nelayan akur tidak turun ke laut sekiranya berlaku kejadian ribut dan angin kencang sehingga menyebabkan laut bergelora sekali gus mengakibatkan kesukaran dalam proses menangkap ikan.
"Fenomena air pasang ini biasa dialami, mereka masih keluar menangkap ikan sekiranya yakin keadaan selamat namun kita tetap meminta mereka berhati-hati," katanya.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi di sini kira-kira jam 3 petang Jumaat mendapati keadaan cuaca cerah berkemungkinan membolehkan aktiviti nelayan berjalan seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!