Sarung senjata hasil tangan Ngah dapat permintaan tinggi
MACHANG - Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Itu yang berjaya dibuktikan Husmizi Ibrahim, seorang orang kurang upaya (OKU) yang mengambil inisiatif menghasilkan pelbagai jenis sarung senjata sebagai punca pendapatan menyara keluarga.
Husmizi, 47, atau lebih mesra disapa Ngah mengakui tidak pernah terbayang menjadi OKU sehinggalah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2002 yang menyebabkan dirinya lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat patah tulang belakang.
Enggan terus terlantar dan hanya mengenang nasib, bekas pendawai elektrik itu bangkit mengusahakan sarung senjata termasuk golok, pedang dan badik sejak 2008, selepas beberapa tahun kehilangan pendapatan.
“Segalanya bermula selepas saya cuba menghasilkan sarung golok untuk kegunaan sendiri. Tidak sangka hasil kerja saya disukai dan menarik perhatian abang ipar, Abdul Aziz Harun, 62, yang kemudian menempah sarung golok.
“Daripada sekadar suka-suka, terdetik untuk melakukannya secara serius sebagai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, di sini.
Husmizi bersyukur apabila mendapat bantuan sebanyak RM53,000 daripada Jabatan Tenaga Kerja bagi membina bengkel dan membeli enam mesin kayu untuk melakukan kerja-kerja pertukangan.
Selepas tempahan pertama oleh abang iparnya itu, permintaan bagi membuat pelbagai sarung senjata datang tidak putus-putus hasil daripada promosi daripada mulut ke mulut.
“Sarung senjata ini saya jual pada harga serendah RM80 dan ada yang mencecah RM800 bergantung kepada saiz serta jenis dan corak kayu yang digunakan. Kebiasaannya saya gunakan kayu jenis kemuning, buwei dan penawar hitam yang dibeli daripada pembekal.
“Sebuah sarung senjata saya boleh siapkan dalam sehari dan paling lama seminggu bergantung pada corak serta kesukaran untuk dihasilkan. Selain itu, dalam sebulan saya mampu menyiapkan kira-kira 12 hingga 15 sarung dengan pendapatan bulanan mencecah sehingga RM1,000 sebulan,” katanya yang turut menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Husmizi, antara risiko dan kesukaran ketika menghasilkan sarung senjata adalah jika kayu digunakan mudah pecah dan tersalah tebuk menyebabkan kerugian kerana tidak boleh digunakan lagi.
Selain permintaan masyarakat setempat, tempahan juga diterimanya daripada pelanggan luar Kelantan termasuk golongan kenamaan.
Katanya, pada awal tahun ini kerajaan negeri turut menyumbang RM15,000 untuk kemudahan pertukangan.
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Zulkifli Ismail, 40, dari Pekan Pulai Chondong berkata, hasil tangan Husmizi menjadi pilihannya memandangkan buatannya yang sangat halus dan kemas.
“Malah, sekarang agak sukar untuk menemui orang yang benar-benar berbakat menghasilkan sarung senjata ini. Selain itu, harga yang dikenakan oleh Husmizi juga amat berpatutan,” katanya yang menempah sarung golok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!