Selangor digesa beri perhatian pada pemandu van, bas sewa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diharap dapat memberikan perhatian terhadap nasib pemandu van dan bas sewa menerusi belanjawan negeri yang akan diumumkan pada akhir bulan ini.

Pengerusi Persatuan Pemandu Van Kuala Lumpur dan Selangor, Simon Sim berkata, kebanyakan pemandu perkhidmatan itu masih terjejas teruk ketika ini walaupun sektor ekonomi dan pelancongan telah dibuka kembali oleh kerajaan.

Simon berkata, ramai dalam kalangan pemandu van dan bas sewa tidak dapat bertahan kerana pengguna lebih cenderung menggunakan kenderaan sendiri sebagai medium pengangkutan mereka.

"Ada yang gulung tikar, ada yang terpaksa berhutang dan disebabkan itulah saya minta agar Belanjawan Selangor 2022 ini dapat membantu mengubah masa depan pemandu dan pengusaha perkhidmatan ini," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Simon berkata, Bajet 2022 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini juga tidak banyak memberi penekanan tentang nasib pemandu dan pengusaha terlibat.

Katanya, dalam menghadapi suasana endemik Covid-19, pengusaha dan pemandu ini memerlukan sokongan kerajaan dalam membantu mereka untuk bangun semula dan kekal bertahan.

"Semoga kerajaan negeri tidak mengabaikan suara-suara kami yang memerlukan bantuan dan sokongan pada saat mencabar ini," katanya.

Tengku Zafrul pada 29 Oktober lalu mengumumkan Bajet 2022 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM332.1 bilion. Ia adalah jumlah terbesar dalam sejarah bajet negara.

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Selangor 2022 juga dijadualkan berlangsung pada 26 November ini dan akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!