MOSTI sasar 1,000 perintis inovasi pada tahun hadapan

Dr Adham (kiri) ketika melawat gerai jualan di Pasar Awam Bandar Tenggara di Kota Tinggi pada Sabtu.
Dr Adham (kiri) ketika melawat gerai jualan di Pasar Awam Bandar Tenggara di Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pertambahan kira-kira 1,000 perintis inovasi tempatan menerusi Program Pembangunan Inovasi Sosial pada tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, program diusahakan agensi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu adalah bagi merancakkan lagi pembangunan masyarakat dalam inovasi produk menerusi sains dan teknologi.

“Sejak ditubuhkan pada 2008, YIM iaitu agensi di bawah MOSTI telah menyalurkan dana pembangunan menerusi Program Pembangunan Inovasi Sosial bernilai RM15 juta yang mana telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 perintis inovasi di seluruh negara.

“Justeru, melihat kepada keperluan yang ada kita mahu memberi galakan dan membantu 1,000 lagi perintis inovasi, kita beri peluang kepada mana-mana individu yang mempunyai idea dalam mengembangkan produk mereka,” katanya ketika ditemui pada lawatan di Pasar Awam Bandar Tenggara, di sini pada Sabtu.

Dr Adham berkata, Program Pembangunan Inovasi Sosial dibangunkan bertujuan bagi memperkasa masyarakat menerusi inovasi sosial dan idea teknologi tempatan.

“Menerusi program ini, peserta yang kita kenal pasti berpotensi akan diberikan latihan dan bimbingan bagi mengembangkan produk mereka selain dana pembangunan sekiranya idea mereka boleh maju ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui program ini juga kita menggalakkan lebih ramai perintis inovasi tempatan untuk mereka cipta teknologi dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi luar negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, MOSTI menerusi YIM juga akan membuka dua lagi fasiliti Ruang Reka yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir November ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dua fasiliti yang kini sedang dibangunkan itu adalah di Bandar Tenggara, Johor dan Bera, Pahang yang merupakan penambahan kepada Ruang Reka sedia ada di Paroi, Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!