Lelaki lemas jatuh tasik ketika daki bukit

Mayat Mohamad Zarif Isyaraf ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 1.30 petang
Mayat Mohamad Zarif Isyaraf ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 1.30 petang
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tasik ketika melakukan aktiviti mendaki bersama rakan-rakannya di bukit berhampiran Tasik Tiga Beradik di sini pada Sabtu.

Mangsa, Mohamad Zarif Isyraf Zulkifli, 20, ditemui kira-kira jam 1.30 petang selepas operasi mengesan dilakukan pasukan penyelamat sejak jam 11.20 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penguasa Bomba Kanan II, Faizal Jamaluddin berkata, operasi mengesan mangsa melibatkan lima anggota dengan bantuan sebuah jentera.

“Mangsa ditemui kira-kira jam 1.30 petang oleh unit penyelam selepas operasi mengesan melibatkan radius seluas lima kilometer daripada mangsa dilaporkan terjatuh.

“Berdasarkan makluman rakannya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika sedang melintas tebing tasik semasa melakukan aktiviti pendakian di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa juga dipercayai telah hilang selama 45 minit sebelum panggilan kecemasan dibuat.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!