Keputusan siasatan jawab spekulasi
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berharap agar keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang melaporkan bahawa atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terbukti lewat bagi cara lontar peluru (F20) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu berjaya menjawab pelbagai spekulasi berhubung perkara berkenaan selama ini.
Menurut Megat D Shahriman, hasil siasatan pihak jawatankuasa berkenaan dilihat amat penting kerana ia melibatkan masa depan atlet temasuk staf bantuan yang telah membantu Ziyad ketika beraksi pada Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu.
Malah katanya, insiden berkenaan (pembatalan kejayaan Ziyad meraih emas, mencatatkan rekod baharu dunia), bagi acara lontar peluru berkenaan telah menimbulkan ketegangan, pertanyaan dan kekecewaan rakyat seluruh negara.
“Semua pihak perlu memahami bahawa dalam satu kejohanan sebesar Paralimpik, kita tertakluk sepenuhnya kepada peraturan dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak penganjur baik dari segi kelayakan, kuota penyertaan, peraturan kawalan kesihatan, pendaftaran, peraturan bertanding dan sebagainya.
“Oleh itu, kami amat percaya keputusan dari hasil siasatan ini akan dapat menjelaskan kesemua kemusykilan ini.
“Apa pun, kami di MPM juga akan mengambil tindakan proaktif bagi tentukan semua warga yang terlibat dalam acara sukan terutama dalam acara antarabangsa, cukup fasih dengan segala peraturan pertandingan,” katanya.
Pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 lalu, Muhammad Ziyad telah berjaya meraih emas selain mencatatkan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang sama sekali turut memecahkan rekodnya sendiri yang dicatatkannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia London 2017 lalu dengan catatan 17.29m yang sebelum itu meleburkan rekod yang dicatatkannya pada Paralimpik Rio 2016 dengan lontaran sejauh 16.84m.
Bagaimanapun, kemenangan atlet berusia 31 tahun itu dibatalkan selepas protes dilakukan oleh atlet Ukraine membabitkan isu teknikal, dengan mendakwa Muhammad Ziyad lewat tiba di call room sebelum beraksi dalam acara berkenaan.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan pihak MSN membentuk jawatankuasa siasatan dan bekerjasama dengan pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh.
Pada Jumaat, pihak jawatankuasa berkenaan telah merumuskan bahawa Ziyad terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga menyebabkan penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.
Mengulas lanjut, Megat D Shahriman berkata, biarpun, Muhammad Ziyad ‘gagal’ meraih emas bagi acara lontar peluru (F20), pada Temasya Paralimplik Tokyo 2020 lalu, namun atlet berusia 31 tahun itu telah mencatatkan pencapaian bersejarah buat negara.
Katanya, kejayaan Ziyad pada temasya berkenaan turut membuktikan bahawa dia sebenarnya jaguh terunggul dunia dalam acara lontar peluru.
“Hasil siasatan Jawatankuasa ini amat penting kerana ianya melibatkan masa depan atlet serta staf bantuan yang telah membantu Ziyad untuk muncul sebagai jaguh terunggul dalam dunia bagi acara lontar peluru.
“Ziyad mungkin kehilangan suatu pencapaian yang bersejarah di kaca mata pegawai teknikal tetapi hakikat sebenarnya di kaca mata umum adalah beliaulah juara sebenarnya apatah lagi dengan rekod dunia yang dipecahkannya.
“Apa pun bagi kita, insiden malang ini tidak sepatutnya berlaku tetapi ini memberi peluang sebagai pengajaran berharga yang akan menjadi titik perubahan kepada semua pentadbir sukan, jurulatih dan terutamanya atlet untuk mematuhi protokol ketat yang dilaksanakan bagi menjayakan pengurusan mana-mana acara sukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!