Kedai kitar semula musnah terbakar
KLANG - Sebuah kedai kitar semula musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran Lebuh Pulau Pinang 2, Batu 1 1/2, Jalan Meru pada awal pagi Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.33 pagi dan sepasukan anggota penyelamat digegaskan ke lokasi bagi melakukan kerja pemadaman.
Menurutnya, sejurus tiba, pihaknya mendapati 50 peratus bangunan itu yang berkeluasan 18.2 x15.2 meter persegi telah musnah.
"Kerja-kerja pemadaman api dilakukan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sg Pinang, BBP Andalas dan BBP Kota Raja," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, sebuah lori tiga tan turut musnah dengan 40 peratus terbakar dalam kejadian itu dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.34 pagi.
Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!