Terima keputusan jawatankuasa
JURULATIH lontar peluru para negara, Mohd Faizol Harun menerima keputusan siasatan oleh pihak jawatankuasa siasatan dalaman berhubung isu pembatalan kemenangan atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada temasaya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.
Menurut Mohd Faizol, beliau serta Muhammad Ziyad bersetuju untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ‘pembatalan’ kemenangan berkenaan.
“Saya berlapang dada menerima keputusan yang telah ditetapkan oleh pihak jawatankuasa siasatan dalaman bagi kes ini.
“Seperti semua sedia maklum, saya bertanggungjawab ke atas perkara ini dan sebagai seorang jurulatih dan orang yang paling rapat dengan Ziyad, kami bersetuju bertanggungjawab sepenuhnya.
“Saya juga akan pastikan agar perkara-perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan dalam talian pada Sabtu.
Untuk rekod, Muhammad Ziyad telah berjaya meraih emas selain mencatat rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) pada temasya Paralimpik Tokyo, Ogos lalu.
Namun, kemenangan atlet berusia 31 tahun itu dibatalkan berikutan protes daripada atlet Ukraine melibatkan isu teknikal apabila Muhammad Ziyad didakwa tiba lewat di call room sebelum beraksi bagi acara berkenaan.
Pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 lalu, Muhammad Ziyad telah berjaya meraih emas selain mencatatkan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang sama sekali turut memecahkan rekodnya sendiri yang dicatatkannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia London 2017 lalu dengan catatan 17.29m yang sebelum itu meleburkan rekod yang dicatatkannya pada Paralimpik Rio 2016 dengan lontaran sejauh 16.84m.
Bagaimanapun, kemenangan atlet berusia 31 tahun itu dibatalkan selepas protes dilakukan oleh atlet Ukraine membabitkan isu teknikal, dengan mendakwa Muhammad Ziyad lewat tiba di call room sebelum beraksi dalam acara berkenaan.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan pihak MSN membentuk jawatankuasa siasatan dan bekerjasama dengan pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh.
Pada Jumaat, pihak jawatankuasa berkenaan telah merumuskan bahawa Ziyad terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga menyebabkan penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.
Sementara itu, Mohd Faizol turut berharap agar perkara berkenaan tidak diperbesar-besarkan lagi selepas ini dan akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu Muhammad Ziyad selepas ini.
“Saya mohon maaf dan berharap agar perkara ini tidak diperbesar. Sekiranya diberikan kesempatan lagi, saya akan melakukan yang terbaik untuk Ziyad dalam pertandingan-pertandingan yang akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!