Muda tak jadi tanding PRN Melaka sebab 'katak'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengambil pendirian berkecuali untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu diambil setelah pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk menyenaraikan calon yang menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Melaka semasa musim pandemik.
Katanya, Muda menolak politik 'katak', tidak bermaruah dan tidak berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat susah dan membazirkan lebih RM42 juta untuk tujuan perbelanjaan pilihan raya khususnya di tengah-tengah pandemik.
“Dengan itu Muda telah membuat keputusan untuk tidak bersama PH yang mengangkat 'katak-katak' politik yang tidak bermaruah dan tidak berprinsip dalam PRN ini.
“Dalam bab ini, walaupun kita bersama dalam blok pembangkang tetapi politik nilai dan bermaruah yang harus diangkat bukan politik kerusi atau kuasa yang tidak ada batasnya hingga akhirnya menyebabkan rakyat susah.
“Muda mengambil pendirian berkecuali untuk tidak bertanding pada PRN ini dan untuk fokus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta memperkasakan politik khidmat dan politik dasar di Parlimen dan luar Parlimen,” katanya pada Sabtu.
Pada Sabtu, PH mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon gabungan parti itu dalam PRN Melaka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Idris akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman di Pantai Kundor di mana kedua-duanya bakal bertanding atas tiket PH.
Idris dan Nor Azman sebelum ini merupakan antara empat ADUN kerajaan negeri Melaka yang mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu berkata, rundingan dengan PH telah bermula sejak minggu lepas yang mana banyak perkara yang dibincangkan khususnya untuk memastikan bahawa pembangkang berpadu dan bersatu sebagaimana niat Muda itu sendiri.
“Sejujurnya kita tidak jangkakan keutamaan diberikan kepada ‘katak-katak’ ini kerana kalau kita lihat mereka melompat bukan kerana nilai atau dasar tetapi kerana politik kuasa.
“Mereka hanya setuju untuk lompat parti apabila dijanjikan jawatan ketua menteri. Jika jawatan tersebut tiada, mereka tidak akan melompat,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!