Malaysia, Australia pertingkat kerjasama keselamatan siber
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) ke-4 di sini pada Sabtu membincangkan pelbagai aspek termasuk kepentingan kerjasama dalam keselamatan siber.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keselamatan siber kini menjadi ancaman keselamatan bukan tradisional utama di dunia membabitkan dalam banyak bidang termasuk korporat, kerajaan dan pertahanan.
“Wujud persefahaman bersama antara kami berdua bahawa rakyat kita perlu mula berunding bersama mengenai isu ini.
“Saya menawarkan agensi profesional yang kita ada, CyberSecurity Malaysia sebagai pertubuhan yang mungkin dapat dijadikan landasan permulaan untuk perbincangan,” katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Australia, Senator Marise Payne selepas kedua-duanya mempengerusikan mesyuarat AFMM.
AFMM kali ini merupakan mesyuarat pertama yang diadakan selepas kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan Kerjasama Komprehensif Strategik (CSP) pada 27 Januari 2021.
Sementara itu, Payne berkata, Australia sudah melancarkan Strategi Penglibatan Teknologi Kritikal dan Keselamatan Siber Antarabangsa pada awal tahun ini dan negara itu mahu bekerjasama rapat dengan Malaysia berkaitan aspek berkenaan.
“Kami berdua amat sedar bahawa komuniti kita perlu (mempunyai prasarana) online yang selamat. Ini termasuk perkara baik dan buruk akibat daripada kesan media sosial terhadap komuniti terutama ke atas gadis dan wanita. Ia adalah perkara yang saya harap kita juga dapat bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.
Mengenai dagangan dua hala, Payne mengakui wujud penurunan tetapi Malaysia dan Australia mempunyai kelebihan CSP yang membolehkan kedua-dua negara bekerjasama di bawah tonggak kemakmuran ekonomi.
“Kami mempunyai tahap saling melengkapi yang tinggi antara dua ekonomi ini dan menggunakan CSP ini bagi memaksimumkan kerjasama ini dan ia dapat menjadi kuncinya,” katanya.
Selain perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada yang melibatkan kedua-dua negara, iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), beliau berkata, Australia juga telah meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang pasti akan menjadi sebahagian pemacu perdagangan dan pemulihan ekonomi dari tahun 2021 hingga 2022.
Payne dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula Jumaat hingga 7 November.
Beliau turut dijadual bertemu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!