Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga JJ Raj
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia pada Sabtu.
Mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi akibat masalah jantung (cardiac arrhythmia) di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook pada Sabtu.
Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada PDRM dan negara.
Mendiang yang berasal dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis sewaktu era darurat pada tahun 1950.
Pada tahun 1974, mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.
Sepanjang perkhidmatan dalam PDRM, mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Polis Daerah Pagoh (1950), Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (1954), Ketua Polis Daerah Kulim (1955), Ketua Polis Daerah Segamat (1957) dan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan (1959).
Mendiang juga pernah dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Pahang (1961), Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu (1964), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1969) dan Ketua Polis Selangor (1973) serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman (1974) sebelum bersara dua tahun selepas itu.
Selepas bersara, mendiang membabitkan diri secara aktif dalam sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan persatuan sukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!