Bayi disambut tentera Amerika 'hilang'
NEW YORK - Bayi berusia dua bulan yang disambut tentera Amerika Syarikat (AS) dari pagar ketika proses pemindahan huru-hara di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul pada Ogos lalu dan menjadi tular dilaporkan 'hilang' hingga kini.
Bapanya, Mirza Ali Ahmadi, 35, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kedutaan AS selama 10 tahun mendakwa anaknya, Sohail gagal ditemui malah tiada siapa mengetahui nasib sebenar bayi berkenaan setelah keluarganya dipindahkan dan ditempatkan di Fort Bliss di Texas untuk proses penempatan semula bersama rakyat Afghanistan yang lain.
"Saya sudah bertanya kepada lebih 20 individu termasuk anggota tentera tentang Sohail dan mencarinya di seluruh lapangan terbang itu.
"Semua orang berjanji untuk membantu saya mencari Sohail, namun tiada khabar berita hingga kini," ujarnya yang tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan terpaksa bergantung kepada rakannya untuk berkomunikasi.
Menurutnya, dia nekad menyerahkan Sohail ketika itu selepas melihat ada keluarga lain bertindak sedemikian dan bayi tersebut telah bersatu semula dengan ibu bapanya.
Susulan itu, sebuah kumpulan sokongan pelarian Afghanistan telah melancarkan usaha mencari Sohail. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!