Suami isteri antara 46 penghuni PPR ditahan terlibat dadah

Ayob Khan (tiga dari kiri) menyoal seorang penagih dadah yang ditangkap dalam Ops Sarang Khas di PPR Flat Larkin, Johor Bahru, pada Sabtu.
Ayob Khan (tiga dari kiri) menyoal seorang penagih dadah yang ditangkap dalam Ops Sarang Khas di PPR Flat Larkin, Johor Bahru, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri antara 46 individu yang ditahan dalam Ops Sarang Khas Projek Perumahan Rakyat (PPR) 1.0 kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek terdiri daripada 44 lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 70 tahun termasuk pasangan suami isteri yang kedua-duanya berusia 31 tahun.

"Kesemua suspek ditahan dalam dua operasi yang dijalankan 23 pegawai dan 106 anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di PPR Larkin dan PPR Stulang.

"Operasi bermula pada jam 1 petang dan masih dijalankan sehingga kini. Kebanyakan yang kita tangkap terlibat dengan dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang akhkbar selepas Ops Sarang Khas PPR 1.0 di PPR Larkin di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, sebelum operasi khas tersebut, pihak polis sudah mempunyai senarai penagih yang ditangkap itu selain membuat tangkapan penagih secara rambang di tepi jalan.

Jelasnya, sebelum ini polis Johor hanya melakukan Ops Sarang biasa pada setiap hari di setiap daerah bagi menahan penagih dadah, namun melancarkan Ops Sarang Khas di dua PPR berkenaan buat julung kalinya.

Dalam pada itu, Ayob berkata, operasi berkenaan bertujuan menangani aktiviti dan membasmi penyalahgunaan dadah khususnya melibatkan penghuni PPR di negeri ini dan akan diteruskan pada masa hadapan.

Beliau memberitahu, operasi yang sama akan dilakukan di semua 13 PPR di lapan daerah iaitu di PPR Kempas Permai, PPR Melana Indah dan PPR Bandar Baru Uda di kawasan Johor Bahru Utara.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga di PPR Taman Cendana (Seri Alam), PPR Flat Jasa dan PPR Flat Kangkar Pulai (Iskandar Puteri), PPR Flat Rumah Pangsa Kulai (Kulai), PPR Sagil (Tangkak), PPR Flat Haji Manan (Kluang) dan PPR Sungai Gersik serta PPR Parit Tengah (Muar).

"Kita akan tingkatkan tangkapan penagihan dadah, Insya-ALLAH kadar jenayah akan menurun terutama kes pecah rumah dan ragut yang membabitkan penagih dadah. Kita akan tingkatkan operasi, kadar jenayah akan turun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!