Suami isteri ditemui di Hentian Kajang telah dibawa pulang: Polis
KAJANG - Pasangan suami isteri warga emas yang dijumpai oleh seorang individu di Hentian Kajang, Jalan Reko di sini pada Jumaat lalu telah dijemput ahli keluarga mereka.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya sebelum ini mengesan satu video tular memaparkan mengenai seorang individu menghantar pasangan warga emas terbabit di Balai Polis Bandar Baru Bangi.
"Video berdurasi 1 minit 49 saat itu dipercayai dirakam kira-kira jam 8.48 malam memaparkan seorang lelaki telah datang ke Balai Polis Bandar Baru Bangi menghantar sepasang suami isteri yang dijumpai di Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang.
"Pasangan tersebut didapati tiada dokumen pengenalan diri," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan polis mendapati pasangan warga emas tersebut masing-masing berumur 67 dan 77 tahun.
"Pasangan suami isteri ini telah keluar dari rumah anaknya di Semenyih pada Khamis kira-kira 7 petang tanpa pengetahuan anak mereka, menuju ke Hentian Kajang untuk pulang ke rumah mereka di Johor Bahru.
"Hasil maklumat yang diperolehi, pihak Balai Polis Bandar Baru Bangi telah berjaya mengesan anak pasangan tersebut di Semenyih," katanya.
Menurutnya, pada Sabtu kira-kira jam 12.22 pagi, ahli keluarga pasangan tersebut telah datang ke Balai Polis Bandar Baru Bangi dan membawa pulang pasangan tersebut ke rumah di Semenyih, Selangor.
"Polis mengucapkan terima kasih atas usaha murni dalam membantu orang yang dalam kesusahan.
"Bagaimanapun tindakan menyebarkan video sebegini boleh mendatangkan persepsi yang negatif terhadap keluarga tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!