Perang bendera masih dingin
MELAKA - Perang bendera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih dingin dengan parti yang bertanding masih belum agresif memacak dan memasang panji masing-masing.
Tinjauan Bernama mendapati bendera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat hanya di beberapa kawasan seperti Masjid Tanah, Lendu dan Tanjung Kling.
Rata-rata parti bertanding seperti mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' berhubung prosedur operasi standard (SOP) kempen yang dijangka dikeluarkan SPR dalam masa terdekat.
Langkah berjaga-jaga turut diambil parti bertanding memandangkan telah terdapat beberapa bendera yang diturunkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia dipasang pada tempat dan masa yang tidak dibenarkan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, kebenaran memasang dan mengibarkan bendera parti hanya dibenarkan selepas proses penamaan calon selesai.
“Kita menjangka perang bendera parti sebenarnya akan bermula selepas penamaan calon kerana dalam peraturan bendera parti hanya boleh dipasang selepas waktu itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Apa yang dipasang sekarang, katanya, adalah di dalam kawasan persendirian dan ini termasuklah di bilik gerakan parti masing-masing.
Katanya, tindakan tegas seperti menanggalkan bendera parti akan dilakukan MPHTJ sekiranya terdapat mana-mana parti yang mengganggu laluan orang ramai.
“Beberapa hari lepas, pihak kita terpaksa menurunkan bendera parti yang dipasang di kawasan larangan seperti di lampu isyarat, tiang lampu serta ada antaranya dipaku di pokok-pokok tepi jalan. Tindakan ini kita anggap sebagai mengganggu lalu lintas, sekali gus mampu membahayakan orang ramai,” katanya.
Shadan juga mengingatkan agar setiap parti yang ingin memasang bendera perlu mematuhi undang-undang kecil yang ditetapkan PBT.
“Antaranya perlu mendapatkan permit, membayar yuran tertentu dan memasang bendera di kawasan yang dibenarkan. Jika tidak pihak penguat kuasa tidak teragak agak untuk menurunkan bendera tersebut,” jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!