Air pasang besar: Paras air di Kuala Selangor meningkat
SHAH ALAM - Fenomena air pasang besar yang memasuki hari terakhir menyaksikan berlaku peningkatan air di sekitar daerah Kuala Selangor pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor melakukan pemantauan bermula jam 6.45 pagi hingga 7.45 pagi.
"Kami dapati berlaku peningkatan air pasang besar, tetapi tidak membahayakan penduduk berhampiran dan keadaan di lokasi juga masih terkawal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, antara kawasan yang dipantau anggota pasukan BBP Kuala Selangor ialah Pantai Remis, Pantai Jeram, Sungai Janggut dan Jambatan Kuala Selangor.
"Di Tanjong Karang, dua kawasan pesisir pantai menjadi tumpuan anggota BBP Tanjong Karang apabila fenomena itu berlaku pada jam 6.22 pagi tadi dan kawasan itu adalah Pantai Bagan Pasir serta Pantai Sungai Kajang.
"Untuk makluman, terdapat limpahan air berlaku, namun keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan," katanya.
Sebelum ini, fenomena air pasang besar dijangka melanda beberapa negeri antaranya Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari bermula Khamis dan dijangka berakhir pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!