Isu POS: Pemecatan Muthu tidak dibuat ikut saluran betul

SM Muthu - Foto Bernama
SM Muthu - Foto Bernama
A
A
A

PROSES pemecatan Datuk SM Muthu sebagai Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang dilakukan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu baru-baru ini, tidak dibuat mengikut saluran yang betul.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, berdasarkan perlembagaan POS, tindakan menggantung atau memecat ahli yang memegang jawatan dalam persatuan itu tidak boleh dilakukan menerusi EGM.

“Kalau dilihat kembali perlembagaan POS, pemecatan atau penggantungan ahli yang memegang jawatan perlu disyorkan jawatankuasa tatatertib selepas siasatan dilakukan mereka.

“Hasil siasatan seterusnya perlu dikemukakan kepada ahli jawatankuasa induk, kerana mereka mempunyai kuasa untuk memutuskan tindakan sewajarnya yang perlu diambil dalam menyelesaikan isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Bukan itu sahaja, Ibrahim memaklumkan surat tunjuk sebab juga perlu dikeluarkan kepada individu terlibat untuk memberi peluang kepada mereka untuk membela diri.

Bagaimanapun, semakan lanjut Ibrahim termasuk pada sesi mesyuarat bersama Naib Presiden POS, Varughese Abraham dan Penolong Setiausaha POS, N Rajagopal pada Sabtu mendapati kesemua mekanisme itu tidak dilaksanakan, seterusnya menyebabkan keputusan EGM terbatal.

“Sehubungan itu, dapat dirumuskan bahawa EGM POS itu tak teratur, maka Presiden POS iaitu Muthu masih kekal,” tambahnya.

Pada Sabtu, Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam satu surat kepada ahli jawatankuasa induk dan ahli gabungan POS mendakwa, hasil mesyuarat bersama Ibrahim memutuskan bahawa keputusan EGM POS pada 24 Oktober lepas adalah tidak sah, dan situasi itu menyebabkan beliau masih Presiden POS yang sah.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Oktober, EGM POS yang dihadiri 39 ahli secara sebulat suara menyingkirkan Muthu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya atas dakwaan berlakunya penyelewengan dana persatuan, serta mahu membuat laporan kepada polis dan PJS.

Dalam pada itu, Ibrahim menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dilakukan Muthu, selain mengharapkan agar kemelut melanda POS dapat diselesaikan secara harmoni oleh ahli persatuan badan induk itu, kerana sekiranya isu berkenaan masih berlanjutan, dikhuatiri mampu menjejaskan pembangunan olahraga Selangor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!