AS kecam serangan dron sasar kediaman PM Iraq
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengecam serangan dron yang menyasarkan rumah Perdana Menteri Iraq, Mustafa Al-Kadhimi, kata Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.
"Kami lega apabila mengetahui Perdana Menteri tidak cedera. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan itu," kata Price dalam satu kenyataan lapor Sputnik.
Beliau berkata, AS turut berhubung rapat dengan pasukan keselamatan Iraq dan menawarkan bantuan untuk menyiasat serangan itu.
Pada pagi Ahad, Al Arabiya melaporkan serangan dron menyasarkan rumah Al-Kadhimi. Al-Kadhimi bersama beberapa pengawal keselamatannya dilaporkan cedera ringan.
Sementara itu, Agensi Berita Shafaq melaporkan tiga daripada pengawal keselamatan Perdana Menteri cedera.
Menurut Al Arabiya, terdapat juga insiden berbalas tembakan berhampiran Zon Hijau di Baghdad. Menurut sumber keselamatan dron yang menyasarkan rumah Al-Kadhimi berjaya dipintas.
Al-Kadhimi menerusi Twitter berkata beliau dalam keadaan 'baik' dan meminta semua 'bertenang demi untuk Iraq'. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!