PRN Melaka: 28 pusat penamaan calon dibuka mulai jam 9 pagi
MELAKA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 28 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibuka mulai jam 9 pagi Isnin.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak bagaimanapun berkata, sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon.
“Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon. Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bagi memudahkan proses penamaan calon, beliau berkata, mana-mana bakal calon yang ingin bertanding perlu mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat PRN Melaka Hari Penamaan Calon.
Selain itu, katanya, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
“Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik pula, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” katanya.
Justeru, Ikmalrudin berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Semua calon dan parti parti politik yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!