Kanak-kanak meninggal dunia, lemas dalam kolam renang

Mangsa yang ditemui lemas pada Sabtu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital pada Ahad. - Foto pembaca
Mangsa yang ditemui lemas pada Sabtu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital pada Ahad. - Foto pembaca
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas lemas dalam kolam renang berhampiran rumahnya di Kampung Balun, Slim River pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ketika kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, mangsa, Rayyan Mikhail Azmi didapati masih hidup dan diberi rawatan awal.

"Keadaan mangsa yang tidak stabil menyebabkan dia dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam lebih kurang 12.04 malam ketika rawatan," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu disedari sendiri bapa kanak-kanak terbabit selepas menyedari anaknya itu tiada di dalam rumah.

Katanya, lelaki itu kemudiannya menemui anaknya dalam keadaan tersembam di dalam kolam renang terbabit dan segera membawa mangsa ke hospital untuk rawatan.

"Proses bedah siasat akan dijalankan di HRPB untuk mengetahui punca kematian kanak-kanak tersebut.

"Satu kertas siasatan dibuka dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, anak bongsu daripada dua beradik itu keluar dari rumah melalui pintu belakang yang terbuka dan berjalan seorang diri ke arah kolam renang tanpa disedari ahli keluarganya.

Kolam renang terbabit hanya terletak pada jarak kira-kira 10 meter dari rumah dan ketika kejadian, air kolam sedalam 0.6 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!