BN sedia kempen ikhlas, sihat

 Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

KOTA BHARU - Meskipun bertanding sendirian, namun Pemuda UMNO Kelantan yakin parti itu mampu menerapkan budaya kempen sihat dan ikhlas demi meraih kepercayaan rakyat di Melaka.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, formula bertanding secara solo ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan keadaan.

"UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah mempelawa Pas pada awalnya untuk bersama-sama mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, namun kita menghormati keputusan yang dibuat Pas untuk kekal bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN). Apa lagi yang kita boleh buat.

"BN perlu belajar daripada sejarah pahit bekerjasama dengan Bersatu setelah PRN Sabah apabila skrip perjanjian bakal ketua menteri ketika itu telah bertukar apabila sama-sama mencapai kemenangan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, dengan pelbagai pengalaman yang berlaku, Pemuda UMNO Kelantan berpendapat keputusan BN bertanding secara solo untuk mengelak berlakunya insiden tikam belakang itu amatlah tepat dan bersesuaian.

"BN juga akan selesa menentukan hala tuju strategi demi mencapai kemenangan dengan cara berkempen norma baharu yang akan diterapkan secara berhemah.

"Kami yakin rakyat Melaka tentunya bijak memilih kali ini dengan mengundi BN kembali. Rakyat tidak akan terjun ke dalam lubang yang sama buat kali kedua dengan kegagalan dan kezaliman Pakatan Harapan (PH) sehingga merosakkan keharmonian negara selama 22 bulan. Rakyat tidak akan lupa perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!