FAMA Pahang catat hasil jualan RM15.7 juta
KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mencatat hasil jualan lebih RM15.7 juta menerusi 24 pasar tani di seluruh Pahang dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, daripada jumlah kutipan itu, sebanyak RM4.9 juta adalah hasil daripada aktiviti penjualan membabitkan lima pasar tani kekal yang beroperasi setiap hari.
Menurut beliau, aktiviti penjualan di pasar tani di sekitar Pekan, Felda Chini, Bandar Jengka, Jerantut dan Bera membabitkan seramai 122 peniaga.
"Sebanyak 19 pasar tani yang beroperasi sekali seminggu turut menghasilkan jualan sebanyak RM10.8 juta.
"Bagaimanapun, hasil jualan tahun ini berkurangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Sambutan Ulang Tahun Ke-56 Fama di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan pada Ahad.
Program berkenaan dirasmikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.
Dalam pada itu, Saiful berkata, sambutan pengguna terhadap pasar tani meningkat tiga kali ganda selepas Pahang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kebenaran rentas negeri dibenarkan.
Jelasnya, kebanyakan pelanggan datang ke pasar tani bagi mendapatkan pelbagai produk pertanian, ternakan, perikanan, daging dan pelbagai jenis sayuran, buah-buahan serta makanan.
Beliau menambah, pihaknya akan mengadakan pelbagai program dalam usaha menarik minat pengguna tempatan dan luar supaya datang semula ke pasar tani bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian.
"Saya memberi jaminan harga barangan keperluan yang dijual di pasar tani adalah berpatutan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!