Malim Nawar lokasi baharu intai burung liar

Andrew (tiga dari kiri) bersama pasukannya dan Cheok Keng (tengah) meninjau salah satu lokasi yang berpotensi menjadi tapak memerhati burung liar.
Andrew (tiga dari kiri) bersama pasukannya dan Cheok Keng (tengah) meninjau salah satu lokasi yang berpotensi menjadi tapak memerhati burung liar.
A
A
A

KAMPAR - Kawasan Malim Nawar di sini mampu menjadi lokasi memerhati burung berprestij kerana terdapat lebih 83 spesies burung dikenal pasti termasuk dari luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Eko-Pelancongan dan Konservasi Malaysia (Ecomy), Andrew Sebastian berkata, hasil pemerhatian mendapati spesis burung berkenaan termasuk dari China, Rusia, Jepun dan Korea singgah di lapan 'spot' sekitar kawasan tersebut.

Menurutnya, spesis daripada 42 keluarga burung yang telah dikenal pasti adalah little cormorant, oriental darter, little egret, purple heron dan buffy fish owl.

Little egret dan little cormorant turut ditemui di Malim Nawar. Foto: ihsan pembaca
Little egret dan little cormorant turut ditemui di Malim Nawar. Foto: ihsan pembaca

"Sejumlah 184 spesis yang direkodkan, 21 peratus berada di negara ini dengan sebahagian besarnya berada di kawasan sekitar Malim Nawar ini.

"Little cormorant atau dikenali burung pependang kecil dianggap sebagai spesis migran yang jarang ditemui sebelum 2015, kini mula didapati dan membiak di kawasan ini," katanya kepada pemberita di Kampung Baru, Tanjung Tualang di sini pada Ahad.

Andrew berkata, bulan Ogos hingga Mac merupakan musim penghijrahan burung dari hemisfera Utara ke hemisfera Selatan dan Malaysia menjadi antara kawasan yang sering disinggah oleh spesis burung yang dilihat boleh menjadi produk baharu pelancongan negeri.

Andrew menerangkan laporan hasil pemerhatian Ecomy terhadap spesis burung yang ada di Malim Nawar.
Andrew menerangkan laporan hasil pemerhatian Ecomy terhadap spesis burung yang ada di Malim Nawar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan perlu dilakukan bagi melindungi haiwan yang termaktub di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar.

"Selain diwartakan sebagai santuari burung, kawasan ini juga sesuai dijadikan eko pelancongan berasaskan komuniti kerana burung-burung ini dapat dilihat di tepi jalan tanpa perlu berjalan jauh masuk ke hutan.

"Selain mempromosikan sebagai tapak pemerhati burung, ia juga dapat menjana pendapatan untuk komuniti setempat dalam menguruskan aktiviti berasaskan alam semula jadi," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng berkata, cadangan menjadikan kawasan itu sebagai santuari akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Cheok Keng memerhati lokasi penghijrahan spesis-spesis burung termasuk dari luar negara.
Cheok Keng memerhati lokasi penghijrahan spesis-spesis burung termasuk dari luar negara.

"Pembentangan laporan daripada pihak Ecomy ini dilihat suatu usaha positif dalam memelihara sebahagian kawasan Malim Nawar sebagai tarikan baharu.

"Kita akan kemukakan cadangan ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Exco Pelancongan Perak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!